Dua cedera pokok hempap rumah

in Edisi Terengganu by


SETIU – Lima bersaudara berdepan detik cemas apabila pokok getah lama berhampiran rumah tumbang dan menghempap rumah terbabit dalam kejadian jam 12.10 tengah hari, kelmarin.


Kejadian yang berlaku di Kampung Bahagia, di sini, turut menyebabkan dua daripada lima bersaudara itu cedera ringan akibat terkena dinding dan serpihan atap yang jatuh.


Seorang bayi berusia setahun tiga bulan cedera di dahi dan kanak-kanak lelaki berusia empat tahun pula cedera di bahagian belakang badan.


Manakala penghuni lain tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian yang berlaku secara tiba-tiba itu.


Menurut Siti Zaida Mohd Zain, 24, ketika kejadian dia bersama dua anak dan dua lagi adik ipar berada di dalam rumah.


“Masa kejadian saya sedang memasak di dapur, sementara anak kecil, Nur Fathia Humaira Muhamad Bukhari, setahun tiga bulan sedang tidur di dalam buaian di ruang tamu.


“Manakala seorang lagi anak, Ahmad Fazrul Helmi, 4, bersama dua orang adik ipar, Muhammad Ikram Muslimin, 4, dan Siti Fatimah, 17, sedang bermain di ruang tamu sebelum kejadian itu berlaku,” katanya kepada pemberita yang ditemui di rumahnya, di sini.


Siti Zaida berkata, tiba-tiba dia terdengar bunyi amat kuat menghempap rumah, dan bergegas ke ruang tamu dan melihat pokok getah jatuh di atas bumbung rumah.


Ekoran itu, buaian Fathia terbalik manakala Ikram pula berada di bawah serpihan atap yang jatuh di bahagian ruang tamu rumah.

Siti Zaida menunjukkan dahi Fathia yang cedera akibat buaian terbalik dan terkena dinding rumah ketika kejadian.


“Saya terkejut melihat kejadian itu dan terus mengangkat Fathia yang sedang menangis kerana terkejut dan dahinya terkena dinding rumah akibat buaian terbalik.


“Selepas itu saya menyelamatkan Ikram yang tertiarap di atas lantai di bawah serpihan atap dan cedera di beberapa bahagian belakang badan,” katanya.


Siti Zaida berkata, selepas itu baharulah adik-beradik lain yang tinggal berdekatan datang membantu dan memberitahu suami, Muhamad Bukhari Malike, 23, yang bekerja sebagai buruh di Jerteh, Besut supaya pulang segera.


Jumlah kerugian  belum dikenal pasti


Sementara itu, Bukhari berkata, dia menerima panggilan daripada salah seorang adiknya yang memaklumkan kejadian itu pada pukul 1 petang dan terus balik ke rumah.


“Pokok getah ini jatuh di bahagian ruang tamu rumah hingga menyebabkan atap, dinding serta kayu penahan atap, rosak. Atap di bahagian bilik utama juga rosak dan jumlah kerugian belum dikenal pasti.


“Barangan perabot termasuk televisyen tidak rosak kerana pokok ini jatuh di bahagian yang tiada barang (perabot),” katanya.


Bagaimanapun, dia bersyukur musibah itu tidak menyebabkan kecederaan serius kepada anak-anak, isteri dan adik yang berada di dalam rumah ketika kejadian.


Bukhari berkata, dia berterima kasih kerana ada pihak yang sudi tampil membantu membaiki kerosakan di rumah yang didiaminya hampir dua tahun lalu.


Sehari sebelum kejadian, Bukhari ada berbincang dengan ibu mertua, Mariam Abdul Rahman, 61, untuk menebang pokok getah tua itu.


“Tak sangka pula belum sempat tebang, pokok dah tumbang, nak buat macam mana, kejadian sudah pun berlaku tetapi tetap akan berusaha untuk tebang pokok- pokok getah lain ynag yang berada berhampiran rumah ini kerana bimbang perkara sama berulang selain memikirkan keselamatan keluarga,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]