Geng Citizen tumpas

in Uncategorized by


TANJUNG MALIM – Kegiatan mencuri kenderaan dan samun menggunakan parang melibatkan beberapa buah negeri berjaya dilumpuhkan selepas polis menahan 11 orang individu dipercayai Geng Citizen.


Ketua Polis Daerah Mualim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kesemua suspek  dipercayai  bergiat aktif  di sekitar Negeri Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur telah ditahan di Petaling Jaya, Selangor pada 17 April lalu.


Menurutnya, daripada 11 individu itu, tiga lelaki berusia 34 hingga 37 tahun itu dipercayai melakukan jenayah samun di Behrang 2020, Bukit Slim dan Simpang Empat, Tanjung Malim pada 30 Mac lalu.


Katanya, ketiga-tiga suspek dipercayai melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata parang untuk menjalankan perbuatan jenayah mereka.


“Mereka juga dipercayai melakukan beberapa kes samun di Hulu Selangor, Gombak dan Sungai Buloh pada hari yang sama.


“Polis berjaya merampas tiga buah kereta, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah motosikal yang dicuri di beberapa lokasi untuk melakukan kegiatan samun dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya.


Beliau berkata demikan di sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Mualim, hari ini.


Wan Kamarul Azran berkata, pihaknya juga merampas pelbagai jenis telefon bimbit dan televisyen  yang dipercayai barang samun.


Katanya, pihaknya juga telah menjumpai pelbagai jenis peralatan yang dipercayai digunakan suspek untuk menyamun.


“Kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan ditahan reman sejak Sabtu lalu hingga 2 Mei ini bagi membantu siasatan pihak polis.


“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]