'Kami tak kisah minum semeja'

in Edisi Selangor KL by


SABAK BERNAM – Kempen PRU14 kerusi Dun Sungai Air Tawar menyaksikan tiga calon yang bertanding di kerusi itu bertembung di tapak pasar pagi dan kedai makan di Bagan Nakhoda Omar, di sini, bagi meraih sokongan pengundi.


Calon BN, Rizam Ismail bersama-sama calon kerusi Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh bertemu dengan calon Pas, Zamri Yahya dan Pakatan Harapan (Harapan), Mohd Hamizar Sulaiman, yang kedua-duanya bertanding di kerusi Dun sama.


Kesemua calon terbabit bersama jentera parti masing-masing turut mengedarkan manifesto parti masing-masing kira-kira jam 9 pagi hingga jam 10 pagi.


Uniknya, ketiga-tiga calon Dun Sungai Air Tawar memiliki lima huruf sama berlainan susunan pada nama gelaran masing-masing iaitu Rizam, Mizar (Mohd Hamizar) dan Zamri.


Rizam berkata, pertemuannya dengan dua calon dari parti lain secara tidak sengaja itu sebagai sesuatu yang unik.


“Saya anggap semua (calon Dun Sungai Air Tawar) sebagai kawan di sebuah negara yang menjunjung amalan demokrasi.


“Misalnya, Haji Zamri dari Pas menetap di kampung sebelah, manakala calon Bersatu (Mohd Hamizar) pula merupakan sepupu saya.


“Kami tiada masalah sebab masing-masing boleh berkempen, saya pun berkempen, kita sama-sama berkempen,” katanya.


Beliau berkata, rakyat Dun Sungai Air Tawar sudah matang untuk menilai soal calon dan parti bertanding pada PRU14.


“Mereka tahu pemimpin mana yang melaksanakan kata-kata, pemimpin mana sentiasa ada bersama mereka dan kerajaan mana yang sentiasa berkomitmen menjaga masayarakat,” katanya.


Mohd Hamizar berkata, semua calon Dun Sungai Air Tawar mengenali rapat dan menghormati antara satu sama lain.


“Pagi ini saja saya telah berjumpa dengan calon Pas (Zamri) ketika minum pagi di kedai Bagan Nakhoda Omar.


“Alhamdulillah kami minum semeja dan inilah keharmonian di antara kami, begitu juga saya tidak ada masalah dengan calon BN.


“Kami bersama-sama berkempen secara aman dan saya pun dulu daripada BN, saya tiada masalah kerana semua itu rakan saya dan itu terpulang kepada pengundi untuk buat pilihan,” katanya.


Zamri pula berkata, beliau selalu bertembung dengan calon dari parti lain sewaktu berkempen.


“Biasanya kita bertembung dalam program mengedar risalah dan seumpamanya, malah tiada pertikaman lidah atau perkara tidak diingini berlaku, sebaliknya kita bersalam-salaman,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]