Kecewa dituduh berkomplot

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


LABU – “Saya dah bersedia nak berlaga, kalau saya bertanding dengan dia saya yakin boleh menang dengan selesa di Dun Rantau, saya lahir dan tinggal di Rantau dia baru tujuh bulan datang Rantau.” Demikian kata Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan merangkap Adun Rantau.


Mohamad ketika ditemui berkata, beliau kecewa apabila ada segelintir pihak menuduh dia bersama calon Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkomplot untuk mengenakan calon PKR yang tidak dibenarkan masuk bertanding akibat tiada Pas.


Kata Mohamad, beliau kalau boleh mahu bertanding secara gentleman di Dun Rantau itu, lebih-lebih lagi calon PKR adalah orang luar, sudah pasti akan memberi laluan mudah untuknya mengekalkan kerusi di Dun itu.


Tambah Mohamad, beberapa kampung di Rantau ramai yang menolak calon PKR ini, dan ada yang tidak suka dengan kehadirannya di Rantau, situasi itu menunjukkan penduduk juga menolak calon PKR itu.


“Ingat saya suka menang tanpa bertanding macam ni, saya lebih suka bertanding dengan dia (calon PKR) melalui pilihan raya, saya dah lama buat persediaan dan saya juga sudah bersiap sedia untuk berlaga, tetapi perkara sebaliknya pula berlaku.


“Tindakan dikenakan terhadap calon PKR itu adalah antara dia dengan SPR, tidak ada kena mengena dengan saya atau pun KJ, kami sendiri tidak tahu apa yang berlaku, kenapa dia tak bawa pas calon, sedangkan semua calon tahu perkara itu.


“Saya berharap perkara ini tidak dijadikan sebagai bahan untuk menjatuhkan imej BN, kerana saya berpendapat ada sesuatu yang sengaja dilakukan untuk memburukkan BN dan pihak polis dan SPR perlu menyiasat perkara ini sebaik mungkin,” katanya.


Beliau ditemui pada program Pelancaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Sutera Labu, di Ladang Kirby di sini tadi.


Tambah Mohamad, beliau kurang seronok dengan apa yang berlaku, terlalu banyak tuduhan dan kutukan yang diterima daripada pihak pembangkang.


Katanya, kalau boleh beliau sendiri mahu benarkan calon PKR itu masuk bertanding kerana beliau yakin boleh menang besar di situ.


Namun katanya, kuasa besar hanyalah ada pada SPR sahaja, beliau sendiri tidak boleh berbuat apa-apa melainkan dengan arahan SPR.


“Biarlah SPR dan pihak berkuasa jalankan tugas mereka dengan bijak, saya berharap perkara ini perlu disiasat dengan serius bagi memastikan kebenarannya.


“Ini bukan budaya kita yang suka menghasut dan mengganggu ketenteraman awam, jika ada yang tidak puas hati ambil langkah mengikut perundangan bukan menuduh orang lain sesuka hati,” katanya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]