Kelegaan kepada keluarga berpendapatan kecil

in Uncategorized by


BOTA – Bantuan kotak makanan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU) mampu memberi kelegaan kepada keluarga yang berpendapatan kecil tetapi mempunyai jumlah keluarga yang besar.


Penerima bantuan, Mohd Izwan Ismail, 34, berkata, bantuan kotak makanan itu amat bermakna bagi dirinya sekeluarga.


Menurutnya, dengan pendapatan RM500 adalah tidak mencukupi bagi menyara isteri serta empat anaknya.


“Jika diikutkan pendapatan sebanyak ini pastinya tidak mencukupi tetapi dengan adanya bantuan kotak makanan sekurang-kurangnya dapatlah membantu.


“Saya tidak risau terputus bekalan makanan kerana bantuan ini boleh membantu walaupun bantuan diberikan tidak kerap,” katanya.


Katanya, keadaan dirinya yang kurang mengizinkan dari segi kesihatan menyebabkan dia tidak mampu bekerja lebih.


“Saya alami masalah kesihatan termasuklah darah tinggi, gout dan kolesterol selain perlu menggunakan alat pernafasan ketika waktu malam. Orang tengok saya sihat tapi sebenarnya tidak dan perlu menggunakan alat pernafasan bagi memastikan pernafasan lancar.


“Sebab itulah saya tidak boleh bekerja terlalu kuat kerana boleh menjejaskan kesihatan,” katanya yang mengambil upah menjual sayur, memotong rumput dan sebagainya.


Mohd Izwan yang mempunyai anak berusia 8 hingga 2 tahun itu berkata, bantuan itu banyak membantu meringankan bebannya sebagai ketua keluarga.


“Sekurang-kurangnya soal makanan saya sudah jimat sedikit dan boleh tumpu perbelanjaan lain.


“Saya begitu bersyukur kerana adanya bantuan seumpama ini,” katanya.


Sementara itu, seorang lagi penerima, Liayana Ramli, 38, berkata, dengan pendapatan suaminya yang bekerja kampung menyebabkan mereka sangat berterima kasih apabila mendapat bantuan berkenaan.


“Kadang-kadang saya risau juga terputus bekalan makanan tapi alhamdulillah bantuan kotak makanan ini membantu kami sekeluarga.


“Sekurang-kurangnya walaupun bukan selalu dapat, boleh juga ringankan beban kami,” katanya yang mempunyai tiga orang anak.


Katanya, kesemua anak-anaknya masih bersekolah dan memerlukan banyak sumber kewangan.


“Pendapatan yang ada tak cukup dan melalui bantuan kotak makanan diberikan boleh juga kami agihkan pendapatan kepada keperluan lain,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]