Khalil kata laluan tetap berliku

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Calon Pas di Dun Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi optimis dengan manifesto ditawarkan parti itu, Pas mampu menawan kerusi di Dun berkenaan pada PRU14 kali ini.


Malah faktor beliau yang dikatakan sebagai calon ‘bukan penduduk setempat’ dilihat tidak menjejaskan sokongan terhadapnya tambahan keluarga ibunya adalah penduduk tempatan berasal dari Chendering.


“Sebenarnya, saya balik ke kawasan saya sendiri kerana ibu saya asal dari Chendering, datuk dan moyang saya berasal di situ dan saya percaya bahawa pengundi-pengundi sekarang ini tidak melihat ia satu faktor besar.


“Sebab mereka lebih tumpu kepada apa mampu yang ditawarkan oleh parti yang bertanding dengan manisfesto, khidmat kepada rakyat dan masyarakat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, hari ini.


Malah katanya, sepanjang siri turun padang bersama jentera Pas bertemu masyarakat sambutan diterima adalah baik kerana jentera Pas sudah bergerak lebih awal iaitu bermula sejak dari PRU13 lagi.


“Jentera Pas sudah bergerak ke kampung-kampung dan tempat masing-masing melalui program ziarah, kesihatan, khidmat masyarakat dan kebajikan dan lain-lain lagi,” katanya kepada Sinar Harian.


Menurutnya, bagi pengundi muda pula, beliau percaya golongan penentu itu juga sudah mengetahui maklumat dengan terperinci mengenai perkembangan politik semasa yang sedang berlaku.


“Ini kerana kita menuju ke arah politik lebih matang bukan politik seperti zaman dahulu, lebih kepada politik dendam, tegang dan menyerang individu yang sudah ditinggalkan generasi muda hari ini,” katanya.


Sementara itu, berhubung pandangan sesetengah pihak mengatakan beliau mendapat laluan mudah di Dun Batu Burok apabila BN meletakkan calon tidak popular, katanya, tiada laluan mudah kepada Pas.


“Umum mengetahui pertembungan di Terengganu ini, pertembungan Pas dan Umno sejak dahulu lagi namun, tidak ada laluan mudah kepada Pas.


“Politik di Malaysia bukan politik parti dengan parti sebaliknya, parti dengan jentera.


“Manakala Pas bergerak dengan jentera sendiri berbanding BN. Umumnya juga (mengetahui), politik pilihan raya di Malaysia, politik tidak sama di atas satu padang.  


“Jadi, saya yakin dan percaya mereka yang kata laluan mudah itu, mereka yang tidak melihat realiti politik di Malaysia,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]