Melaka catat pelaburan RM22.5 bilion

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


KUALA LUMPUR – Melaka berjaya merekodkan pelaburan bernilai RM22.5 bilion dalam tempoh empat setengah tahun.


Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, ini merupakan prestasi luar biasa berbanding pelaburan bernilai RM13 bilion yang dicatatkan dalam tempoh lima tahun sebelum itu.


Dasar mesra pelaburan yang mendorong kemasukan langsung asing dan pelaburan domestik meletakkan Melaka sebagai destinasi keempat teratas di negara ini berbanding tempat ke-11 sebelum ini, katanya semalam.


“Tidak pernah dalam sejarah negeri berjaya mengumpulkan sejumlah besar pelaburan,” katanya dalam petikan temu  bual yang dikeluarkan hari ini.


Pelaburan  terbesar tunggal dibuat oleh Edra Power membabitkan sejumlah RM4.5 bilion bagi membina loji kuasa turbin gas dengan kapasiti 1,500 megawatt, menggunakan 1,200 pekerja sepanjang tempoh pembinaannya.


“Tenaga yang dijana dapat dibekalkan ke negeri Johor, Negeri Sembilan serta Melaka,” katanya kepada pemberita.


Selain itu, Idris berkata Micron Semiconductor Sdn Bhd melabur RM500 juta dalam projek mikroelektronik wafer, manakala Infineon merupakan majikan terbesar di Melaka yang mengaji seramai 7,500 pekerja.


Menurut  Infineon, Melaka merupakan pembekal terbesar pekerja mahir dalam industri semikonduktor.


Pengilang bahagian pesawat CTRM Aero Composites Sdn Bhd turut memilih Melaka bagi mengeluarkan bahagian pesawat untuk Boeing dan Airbus memandangkan negara ini mempunyai pengalaman paling luas dalam menghasilkan bahagian komposit.


Idris, seorang jurutera, berkata  negeri itu juga merupakan perintis dalam projek alam sekitar lestari seperti yang dibuktikan oleh Program Bandar Teknologi Hijau Melaka.


“Kami negeri paling maju di negara ini, menjadi perintis dalam inisiatif persekitaran teknologi hijau, selari matlamat Pembangunan Mampan Millennium,” katanya.


Perbadanan Negeri  Melaka ialah agensi yang memantau semua pelaburan di negeri ini, dan pada masa yang sama membantu pelabur yang berminat untuk mendapatkan kepakaran tempatan dalam operasi mereka. – Bernama


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]