Pas tunggu kebenaran perbicaraan kes Sarawak Report

in Politik by


SHAH ALAM – Pas menaruh harapan supaya kebenaran akan terbukti melalui perbicaraan kes saman Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap Sarawak Report yang bermula di Mahkamah Tinggi London hari ini.


Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, apa yang berlaku akibat daripada fitnah itu menyebabkan nama baik Pas  tercemar.


“Fitnah ini menyebabkan Pas diserang daripada segenap penjuru oleh musuh-musuh politik dan juga oleh mereka yang tidak mendapat maklumat yang betul,” katanya pada sidang media, hari ini.


Dalam pada itu, beliau menyarankan  kepada semua ahli Pas  mendirikan solat hajat dan bermunajat untuk memohon kemenangan kepada Pas dalam perbicaraan berkenaan dan juga kepada semua calon  Pas yang bertanding.


Sebelum ini, Abdul Hadi melahirkan keyakinan untuk memenangi kes saman fitnahnya berdasarkan bukti-bukti  dihantar oleh peguam parti itu ke mahkamah di sana.


Abdul Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April lalu susulan laporan Sarawak Report pada 6 Ogos 2017 yang mendakwa sejumlah RM90 juta dimasukkan ke akaun pemimpin atasan Pas sebagai usaha Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak ‘menarik’ kepimpinan parti Islam itu menyokong BN dan Umno.


Pada Oktober 2007, Abdul Hadi menang kes saman ke atas Daily Mirror, sebuah akhbar tempatan di London berhubung kes laporan palsu yang mendakwa beliau sebagai perancang kepada beberapa siri pengeboman di United Kingdom.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]