Pemandu lori mengaku tidak bersalah

in Uncategorized by


TAIPING – Pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Taiping atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang pelajar kolej swasta di KM223.1 Lebuh Raya Utara Selatan arah Utara minggu lalu.


Tertuduh Tuan Nazeri Hashim Tuan Mat Zawai, 35, dari Kulim Kedah mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Hairol Jemain.


Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa berada di bawah pengaruh dadah yang menyebabkan tidak berdaya mengawal kenderaan itu dengan sepatutnya dan telah menyebabkan kematian Muhammad Hakeem Badrol Hisham, 21 pada jam 8.50 pagi, 26 April lalu.


Pertuduhan adalah di bawah Seksyen 44(1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dibaca bersama Seksyen 44(1) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang 3 tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM8,000 dan tidak lebih RM20,000.


Pihak pendakwaan sebelum itu menawarkan jaminan RM15,000, namun mahkamah menetapkanĀ  RM8,000 dengan seorang penjamin.


Dalam pada itu, lesen memandu tertuduh turut digantung sehingga kes perbicaraan ini selesai.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Raihan Rithwan dan kes akan disebut semula pada 6 Jun depan.


Terdahulu Sinar Harian turut melaporkan kejadian kemalangan yang menyebabkan kematian seorang pelajar dan dua anggota polis peronda yang mengalami kecederaan parah selepas dirempuh lori kerana ingin membantu mangsa yang mengalami masalah tayar pancit.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]