Pengundi Paloh tidak mudah terpedaya

in Edisi Johor by


KLUANG – Tindakan Pakatan Harapan meletakkan Ahli Jawatankuasa Majlis Pimpinan Harapan Johor, Sheikh Omar Ali sebagai calon di kerusi Dun Paloh bagi PRU14 dilihat tidak mampu untuk memperdayakan masyarakat di Dun ini.


Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, calon yang diletakkan Harapan itu sering kali berubah yang mana pada PRU13 adalah calon India tetapi kini bertukar kepada calon Melayu yang tidak diketahui dari mana asalnya.


“DAP meletakkan calon Melayu di Paloh tetapi kita (BN) menjadi tanda tanya dan kalau calon India dahulu pun tidak pernah muncul dan kali ini calon Melayu pula.


“Saya percaya masyarakat di Dun Paloh ini tidak akan terdaya dengan helah dan janji-janji yang ditaburkan oleh pembangkang malah ia bersifat bermusim lima tahun sekali.


“Saya percaya Cikgu Teoh (Adun Paloh) telah bersama kita dan melaksanakan pelbagai pembangunan untuk rakyat dan sudah pasti masyarakat akan ingat,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Gelanggang Futsal di Kampung India Paloh, dekat sini, semalam.


Beliau berkata demikian apabila ditanya berkaitan Harapan meletakkan calon Melayu di Dun Paloh bagi PRU14 ini.


Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah calon BN kerusi Dun Paloh, Teoh Yap Kun dan calon BN kerusi Dun Kahang, R Vidyananthan.


Hishammuddin yang juga Ketua Umno Bahagian Sembrong berkata, BN Sembrong telah melaksanakan kerja berkempen sudah lama sejak sehari selepas PRU13.


“Perancangan pihak pembangkang adalah mahu menyebarkan politik kebencian yang menjadi keutamaan dalam segala tindak tanduk mereka.


“Padahal kita (BN Sembrong) telah melaksanakan pelbagai pembangunan di Sembrong. Kita bukan seperti mereka yang akan putar dan menidakkan apa yang yang benar yang Kita buat di sini.


“Saya pasti serangan bertubi-tubi akan dilakukan oleh pembangkang.


“Jadi apa yang saya harap rakyat Sembrong dapat melaksanakan tanggungjawab membuang undi untuk memilih BN kerana saya percaya sokongan yang diberikan itu akan dapat dilihat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]