Pengundi Parlimen Batu bersolidariti terhadap Tian Chua

in Politik by


KUALA LUMPUR – Lebih 200 pengundi di Parlimen Batu berkumpul hari ini di Sentul sebagai solidariti terhadap Tian Chua yang dinafikan hak sebagai calon bagi parlimen berkenaan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Sabtu lalu.


Kesemua mereka mula berkumpul seawal jam 8 malam dengan menyalakan lilin sebagai simbolik membantah apa yang berlaku terhadap Tian Chua yang memenangi kerusi parlimen ini pada PRU12 dan PRU13 lalu.


Hadir sama, pemimpin PKR antaranya Amiruddin Shaari dan Elizabeth Wong.


Tian Chua ketika mengambil tempat di pentas utama mendapat sorakan dan tepukan gemuruh daripada penyokongnya.


Dalam ucapannya, beliau cukup bangga dengan sokongan dan kehadiran pengundi yang hadir hari ini.


“Ini cabaran besar bagi saya, PKR dan Pakatan Harapan.


“Tidak ada mana-mana pihak boleh mempertikaikan. Saya adalah calon sah walaupun SPR secara keras menolak permohonan saya. Mereka tidak boleh menolak keputusan mahkamah yang memutuskan saya boleh bertanding,” katanya.


Beliau berkata, tidak ada yang boleh menghalangnya untuk terus memberi khidmat kepada pengundi di Parlimen Batu.


“Saya sedar, ini adalah berita mengejutkan. Tidak ada sesiapa sangka. Saya diumumkan tidak boleh bertanding.


“Saya tidak mahu maki hamun sesiapa. Saya sedar pegawai SPR ini hanya ikut perintah,” katanya.


Tian Chua berkata, biarpun selepas ini beliau tidak lagi bergelar ahli parlimen, perjuangannya untuk menolak kerajaan BN tetap akan diteruskan.


Permohonan Tian Chua bagi bertanding di Parlimen Batu di tolak SPR berikutan kes Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2013 atas kesalahan menghina pegawai polis.


Pada 2 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam meminda hukuman denda RM3,000 yang diputuskan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya sebelum ini kepada RM2,000.


Kehilangan kerusi PKR itu menyaksikan pertandingan empat penjuru melibatkan calon daripada BN, Pas dan dua calon bebas.


Tian Chua pada sidang medianya selepas proses penamaan calon itu menyifatkan keputusan SPR itu tidak selari dengan keputusan mahkamah.


Kecewa dengan keputusan itu, beliau menjelaskan mahkamah tinggi sebelum ini jelas menyatakan denda RM2,000 tidak membuatkan beliau hilang kelayakan untuk bertanding dalam PRU14.


Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, Tian Chua boleh mengemukakan petisyen di mahkamah sekiranya tidak berpuas hati apabila kertas pencalonannya ditolak.


Pagi tadi, Tian Chua memfailkan saman pemula bagi mencabar keputusan Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang menolak permohonannya untuk mempertahankan kerusi Parlimen Batu.


Saman itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerusi Tentuan Ngeow dan Tan.


Dalam permohonan itu, Tian Chua atau nama sebenarnya, Chua Tian Chang menamakan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Anwar Mohd Zain dan SPR sebagai respondan.


Biarpun gagal bertanding, Naib Presiden PKR itu tetap akan meneruskan kempen yang dirancang dalam usaha menghalang BN memenangi kerusi berkenaan.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]