'Saya bukan pengkhianat'

in Edisi Selangor KL by


PADA awal April lalu, penyandang kerusi Dun Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman membuat kejutan meninggalkan partinya, Pas dan memilih untuk bersama kepimpinan Pakatan Harapan (Harapan) menerusi PKR.


Keputusan itu menimbulkan banyak tanda tanya khususnya dalam kalangan pengundi di Dun Paya Jaras.


Sebelum ini, Khairuddin dilihat tidak menyatakan secara terperinci kepada masyarakat mengapa tindakan sedemikian diambil walaupun beliau merupakan antara pimpinan Pas yang berpengaruh di Selangor.


Malah, ada juga cakap-cakap yang mengatakan bahawa beliau membuat keputusan tersebut selepas namanya tidak dicalonkan lagi pada PRU14 ini bagi mewakili parti Islam itu.


Kepada wartawan Sinar Harian, ASYRAF MUHAMMAD, calon PRU14 di Dun sama memberi pencerahan terhadap segala spekulasi penghijrahannya daripada Pas ke PKR pada sesi Facebook Live bersama Sinar Harian, semalam.


 


Setiap parti kena ubah perlembagaan jika mahu elak berlaku


 


Kenapa YB keluar Pas dan menyertai PKR?


Saya tak fikir semua parti dalam Malaysia ini menghalang mana-mana pihak untuk keluar daripada parti. Kalau disemak perlembagaan setiap parti, ada klausa yang menyatakan terdapat cara untuk mereka menjadi ahli dan ada juga cara untuk mereka berhenti sebagai ahli mengikut fasal-fasal tertentu. Selagi fasal ini ada dalam perlembagaan mana-mana parti, maka seseorang ahli itu berhak untuk kekal atau keluar daripada parti yang mereka duduk selama ini. Jadi ia tak salah. Kalau parti itu tak mahu orang keluar dari parti dan rasa tindakan itu salah serta dianggap sebagai pengkhianat, maka parti itu perlu pinda perlembagaan mereka agar jangan bagi orang keluar parti. Kalau mereka langgar perlembagaan yang ditetapkan itu, maka dia dikira pengkhianat. Dalam kes saya, saya memilih untuk pilih satu satu daripada opsyen perlembagaan Pas itu untuk keluar dan itu tidak salah. Jadi tafsiran itu umum. Mungkin bagi dia ini adalah pengkhianat namun kita juga mempunyai alasan-alasan tersendiri. Hanya masa menentukan.


 


Adakah ia keputusan sukar?


Bukan senang (untuk buat keputusan) sebab kita berada dalam Pas sejak tahun 199101992. Berapa tahun dah. Tapi perubahan dalam keyakinan kita ini berubah ikut perkembangan semasa. Sebab pada umumnya, keadaan dulu tak sama dengan sekarang ini. Jadi untuk mengambil kira kita meninggalkan kawan-kawan kita, waima dalam keluarga kita pun ada pelbagai parti, sudah tentu ini bukan perkara mudah untuk kita buat keputusan.


 


Penghijrahan ke PKR dianggap pengkhianatan kepada Pas. Apa komen YB?


Macam saya sebut tadi, saya memilih PKR melalui fasal perlembagaan dalam parti itu sendiri dan saya memilih masa berpindah (parti) itu setelah Dun dibubarkan. Saya lengkapkan tempoh saya. Di mana pengkhianatan itu? Sepanjang saya dilantik atas tiket Pas, saya telah selesaikan tugasan saya di bawah Pas. Saya ingat itu adalah hak demokrasi. Adakah kita tak boleh keluar selepas menyertai sesebuah parti itu?


 


Tidakkah ia mencetuskan persepsi tidak baik dan mengganggu gerak kerja PRU14?


Perkara ini bergantung kepada negeri. Dan saya katakan saya selalu percaya pendekatan politik di pantai timur tak sama dengan pendekatan politik di pantai barat. Kemajmukan kita di pantai barat ini menyebabkan kita terpaksa mencari satu wasilah atau alat yang lebih sesuai dengan keadaan setempat. Jadi dengan kata lain, saya memilih PKR itu kerana saya rasakan parti itu lebih memperjuangkan hak majmuk, terbuka, dan mempunyai pelbagai kaum yang lebih sesuai dengan Selangor.


 


Benarkah nama YB disingkirkan daripada calon PRU14 Pas?


Ini isu dalaman. Orang tanya saya betul ke saya keluar sebab tak tercalon? Saya tanya pada mereka adakah calon dah diumumkan? Tapi calon belum diumumkan lagi pada waktu itu. Dan saya juga turut berkomunikasi dengan kepimpinan tertinggi dalam Pas yang meyakinkan bahawa nama saya tersenarai sebagai calon. Tapi kalau mereka kata nama saya tak kekal, bila masa yang Pas umum? Jadi inilah persepsi yang dibuat. Dan saya memilih PKR bukan sebab isu calon tapi disebabkan hala tuju parti Selangor ini berkehendakkan PKR memimpin parti-parti di dalam Harapan. Kekuatan PKR di Selangor adalah kerana kekuatan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Orang berkata kita ada masalah jentera. Kalau kita tengok masa 2008 lalu, kita menang di Kedah dan Selangor. Tapi kenapa kita hilang Kedah tapi tak hilang Selangor? Ini adalah kerana faktor kepimpinan menteri besar pada ketika itu. Sebab itu apabila pimpinan menteri besar beralih kepada Azmin dan beliau berjaya menggalas tugas dengan sangat baik, maka sebab itu saya yakin kepimpinan ini akan kekal.


 


*** IKUTI WAWANCARA PENUH DI AKHBAR SINAR HARIAN SELANGOR/KL


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]