Semua untuk orang Gugusan Manjoi

in Uncategorized by


MANJOI – Penduduk Gugusan Manjoi bakal menikmati kemudahan dan menerima rawatan dengan lebih selesa apabila sebuah klinik kesihatan moden setinggi empat tingkat akan dibina di Jalan Masjid di sini.


Calon BN Dun Manjoi, Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin berkata, usaha untuk membangunkan perkhidmatan yang selesa kepada penduduk berbaloi apabila projek pembangunan yang bernilai RM25 juta itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Bajet 2016 lalu.


Menurutnya, beliau berbangga apabila projek berjaya direalisasikan selepas status tanah klinik itu juga berjaya diselesaikan sebelum projek pembinaan dilaksanakan pada 20 Februari lalu.


“Klinik berkenaan dianggarkan sudah berusia 40 tahun dan penduduk sebelum ini tidak selesa menerima rawatan dengan menunggu di bawah khemah tetapi kini, mereka boleh menarik nafas lega.


“Perkhidmatan yang disediakan di klinik baru ini termasuklah klinik pesakit luar dan kecemasan, klinik ibu dan kanak-kanak, kesihatan pergigian, pengimejan (X-ray) dan perkhidmatan farmasi, rehabilitasi serta makmal patologi,” katanya.


Menurutnya, Klinik Kesihatan Manjoi yang dijadualkan akan siap pada tahun 2020 bakal menjadi mercu tanda baharu pembangunan kerajaan BN di kawasan itu.


Pada masa sama, hasrat menjadikan rakyat Manjoi sihat dan cerdas juga berjaya direalisasikan apabila sebuah taman rekreasi bernilai hampir RM500,000 itu siap dibina di Jalan Tapah di sini.


Mohamad Ziad berkata, kawasan terbiar berhampiran Stadium Mini Manjoi itu kini berubah landskap menjadi pusat rekreasi penduduk untuk beriadah dan bersenam dengan pemandangan indah dari lombong berhampiran.


“Dengan adanya tempat rekreasi penduduk secara tidak langsung dapat mengubah sebarang aktiviti negatif sebelum ini kepada program yang lebih sihat untuk masyarakat setempat.


“Sebagai wakil rakyat, saya gembira mendengar reaksi rakyat yang berkunjung dan menerima manfaat daripada projek yang telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada majlis pecah tanah Permukiman MB Daerah Kinta lalu,” katanya.


Mohamad Ziad berkata, kerajaan negeri meluluskan sejumlah RM12 juta bagi menaiktaraf dan melebarkan Jalan Jelapang–Chemor sedikit sebanyak membantu merancakkan pembangunan Manjoi.


“Projek yang sudah pun bermula itu bakal memberi manfaat kepada ribuan pengguna jalan raya berkenaan yang dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas selain meningkatkan keselamatan pengguna.


“Kepimpinan Zambry juga telah merancakkan kegiatan ekonomi di kawasan Meru Raya. Bulatan Amanjaya menjadi tarikan baharu rakyat selain Taman Tema Animasi Studio (Maps) sekaligus menjadikan Manjoi menerima limpahan pembangunan terancang,” katanya.


Katanya, kepimpinan Zambry memberi keyakinan untuk beliau menggalas tugas bagi memastikan hasrat rakyat dapat direalisasikan sekaligus menyentuh denyut nadi rakyat dalam kawasan Manjoi.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]