Status selebriti bukan ukuran

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – “Apa juga yang berlaku di muka bumi (sama ada mampu) pergi jauh atau tak, semuanya dengan izin ALLAH.


“Kita pun tak pernah gunakan status saya sebagai seorang selebriti,” ujar calon BN Dun Sikamat, Syamsul Debat atau nama sebenarnya Syamsul Amri Ismail.


Menurut beliau, sebaliknya tawaran dan perkhidmatan yang mampu diberikan BN bakal menjadi ukuran dalam kalangan pengundi.


“Kalau diikutkan, (dalam) barisan pembangkang pun ada selebriti. Tapi ceritanya boleh (juga) pergi jauh.


“Seolah-olah nak cakap selebriti yang sokong kerajaan tak (mampu) pergi jauh atau macam mana, itu masih boleh diperdebatkan lagi.


“Jadi, saya pun tak nak pegang (perkara) itu sebagai satu asas. Sebaliknya satu saja, kita laksanakan (tanggungjawab),” katanya.


Demikian reaksi beliau ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan, Aminuddin Harun membabitkan dirinya.


Aminuddin yang juga merupakan pesaingnya berkata, sejarah menunjukkan ramai selebriti berkecimpung dalam politik alami kegagalan.


Dalam pada itu, Syamsul tampak sudah mengenal pasti beberapa masalah yang perlu diberi perhatian sewajarnya.


“Baru-baru ini ada disebut bila saya tanya (penduduk setempat), antaranya masalah kesesakan lalu lintas. Jaringan jalan raya mungkin perlu diperbetulkan balik.


“Bayangkan jalan utama melalui depan taman perumahan. Sesuatu perlu dilakukan misalnya pengubahsuaian atau penstrukturan semula.


“Kemudian UTC (Pusat Transformasi Bandar) macam di Ampangan. Mereka kata, mungkin kena ada satu di Sikamat sebab masyarakat di sini dah cukup padat,” katanya.


Selain itu, katanya, satu usaha perlu dilaksanakan bagi pastikan keselamatan kediaman di kawasan itu.


“Asal ribut saja, kemungkinan ada kecenderungan untuk bumbung terbang dan sebagainya. Orang kata, kawasan ini agak berisiko dengan masalah cuaca.


“Kita kena ambil tindakan jangka panjang supaya masyarakat tak berdepan lagi masalah ini,” katanya ketika ditemui pada program Jualan Sentuhan Rakyat di tapak Skim Rondaan Sukarela (SRS) Taman Desa Rhu, Sikamat, di sini, semalam.


Turut hadir, calon BN Parlimen Seremban, Senator Datuk Chong Sin Woon dan calon BN Dun Ampangan, Datuk Abu Ubaidah Redza.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]