Yakin semua kaum sokong Pas

in Edisi Utara by


KULIM – Pas yakin pengundi di Dun Kulim akan memilih parti itu pada PRU14.


Naib Yang Dipertua Pas Kulim-Bandar Baharu, Mohd Khairi Mohd Salleh berkata, masyarakat kepelbagaian kaum di kawasan ini juga akan memilih Pas pada PRU14 ini kerana inginkan perubahan dan bagi memastikan nasib mereka terbela.


“Kita tidak gentar, kita yakin akan dapat sokongan rakyat daripada kaum India dan Cina khususnya kerana parti kita bukan dikhususkan untuk orang Islam sahaja.


“Dalam Gagasan Sejahtera selain Pas ada NGO yang terdiri daripada kaum lain, Dewan Himpunan Cina juga beri sokongan kepada kita, jadi kita bukan bersendirian dan parti kita juga parti kepelbagaian kaum.


“Masyarakat dan pengundi di Kulim yang mahu perubahan juga pasti akan memilih calon Pas sebagai wakil rakyat mereka,” katanya kepada Sinar Harian.


Beliau berkata, Pas akan berkhidmat untuk semua sekiranya pengundi memberi mandat kepada calon-calon yang bertanding pada PRU14.


“Kalau kita menang bukan kita nak berkhidmat untuk satu kaum sahaja, sebaliknya kita berkhidmat dan bantu semua tanpa kira kaum dan ideologi politik.


“Jadi pengundi buatlah pilihan yang bijak, jangan tertipu lagi dengan janji-janji yang ditaburkan calon lain,” katanya.


Terdahulu, Mohd Khairi diumumkan sebagai calon Dun Kulim dan akan menentang Chua Thiong Gee (BN), Yeo Keng Chuan (Harapan) serta Lee Ah Leong (Parti Rakyat Malaysia).


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]