
PARIT BUNTAR – Majlis Daerah Kerian (MDK) bakal mengenakan tindakan mahkamah terhadap 400 pemilik premis dan harta persendirian di kawasan Bukit Merah Laketown dan Taman Lembah Beriah, Bagan Serai setelah dikenal pasti gagal membayar tunggakan cukai taksiran.
Pemangku Yang Dipertua (YDP) MDK, Norhafisah Mohamad berkata, tindakan tegas itu terpaksa diambil memandangkan pihaknya mengenal pasti dua kawasan itu mengalami masalah tunggakan cukai taksiran sehingga mencecah RM3 juta.
Menurutnya, MDK mengalami kesukaran menjalankan kutipan tunggakan cukai taksiran di dua kawasan itu memandangkan hampir keseluruhan pemilik premis atau harta persendirian terbabit tidak menetap di situ.
“Bayangkan daripada keseluruhan RM5,300,772 jumlah tunggakan cukai taksiran ditanggung MDK, sejumlah RM3 juta sahaja melibatkan dua kawasan itu.
“Tahun ini, MDK akan menfokuskan kepada pemilik hartanah atau premis gagal membayar cukai tertunggak dan kesemua mereka akan diambil tindakan secara berperingkat,” katanya kepada media pada majlis penyampaian hadiah wang tunai kepada pemenang Peraduan Mega Bonanza MDK 2018 di sini, baru-baru ini.
Katanya, pada peringkat awal, MDK akan menghantar notis tuntutan mahkamah kepada 400 pemegang akaun cukai taksiran yang paling bermasalah selepas perayaan Aidilfitri kelak.
Menurutnya, sekiranya notis tuntutan itu tidak dipenuhi pemilik, MDK akan melaksanakan proses kaveat harta persendirian milik kesemua mereka.
“Di sebalik berlaku peningkatan nilai tunggakan cukai taksiran RM5,300,722 pada tahun 2018 berbanding RM4,885,785 pada tahun 2017, MDK masih mampu mengutip tunggakan cukai sebanyak RM397,505.
“Keseluruhan nilai tunggakan cukai taksiran adalah merangkumi 7 peratus daripada keseluruhan pendapatan MDK,” katanya.
Source: SH Edisi Perak
[featured-video-plus]