Aura semangat calon muda

in Politik by


IPOH – Mungkinkah atas dasar membawa perubahan dan mahu idea kepimpinan yang lebih bernas mendorong setiap parti bertanding pada PRU14 ini menampilkan lebih ramai calon muda.


Di Perak sahaja, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan, daripada 171 pencalonan kerusi Dewan Negeri dan 71 Parlimen, 46 daripada mereka adalah kalangan belia berusia antara 39 hingga 21 tahun.


Situasi ini dianggap satu perubahan baharu selaras dengan perkembangan dunia politik negara yang terdedah kepada penguasaan teknologi maklumat yang lebih didominasi generasi baru.


Kebangkitan pengundi muda menjelang PRU14 ini juga antara satu faktor perlunya, parti melakukan rombakan secara besar-besaran membariskan pimpinan muda mereka agar dapat meraih sekurang-sekurangnya peningkatan sokongan kepada parti bertanding.


BN Perak turut tidak terkecuali apabila menyenaraikan enam calon muda, ironinya pencalonan mereka kali ini bagi mencabar kerusi Dewan Negeri yang dimenangi pembangkang pada PRU13 lalu.


Idea kepimpinan baharu


Memetik kata Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, barisan calon muda yang diketengahkan ini adalah bukti kesediaan kerajaan memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat menerusi idea kepimpinan yang baru.


Meskipun diletakkan di kerusi milik pembangkang, situasi semasa politik masa kini bukan sesuatu yang harus dipandang ringan dalam mencongak kemenangan calon.


Di Dun Changkat Jering umpamanya, BN meletakkan calon baru dan muda Ahmad Saidi Mohamad Daud, 34, kerusi itu dimenangi pembangkang dengan majoriti 1,170 undi pada PRU13  lalu.


Statistik terbaru pengundi yang menunjukkan peningkatan majoriti Melayu dari 63 peratus kepada 77 peratus membuka peluang kepada BN untuk merampas kembali kerusi itu yang pernah dimenangi pada PRU 2004 lalu sebelum jatuh kepada pembangkang.


Pengalaman dalam  kerja parti


Dalam soal pemilihan calon, perkiraan pengalaman dalam kerja parti juga perlu diambil kira, kerana itu BN Perak tidak teragak untuk menampilkan semula calon muda, Daniel Wa Wai How, 30, bertanding di kawasan sama iaitu Dun Keranji.


Beliau antara nama yang disebut bakal memberi saingan kepada parti lawan, pertama kali bertanding di kawasan itu pada usia 25 tahun, namun tewas kepada calon DAP dan kali ini, bakal berdepan lagi dengan DAP, juga calon muda,  Chong Zhemin, 33.


Bagi pembangkang, kesediaan mereka untuk meletakkan calon muda telah lama diputuskan sejak menyedari kebangkitan suara anak muda yang mahukan barisan kepimpinan dalam kalangan mereka.


Dalam hal ini, DAP dilihat paling selamat kerana meletakkan calon muda mereka di kerusi yang sememangnya menjadi kubu kuat sejak beberapa pilihan raya lalu.


Dun Canning, Pasir Pinji, Menglembu, Astaka (dahulunya dikenali Dun Sitiawan) dan Keranji semuanya dimenangi dengan majoriti besar antara 16,000 hingga 5,000 undi pada pilihan raya lalu.


Lebih membuka peluang menang apabila hampir semua kerusi berkenaan berdepan persaingan dua penjuru (kecuali Menglembu).


Lebih mesra belia


Pengerusi DAP negeri, Nga Kor Ming dalam satu ucapan mengakui, kepimpinan muda ditampilkan sebagai pemacu untuk menggerakkan  parti ke arah lebih mesra belia.


Cabaran paling besar yang harus diharungi calon muda adalah kecekalan mereka dalam berdepan lawan jauh lebih berpengalaman.


Calon PKR di Dun Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad, 35, misalnya berdepan dengan penyandang kerusi yang juga Ketua Umno Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah.


Situasi sama turut dialami calon PKR di Dun Batu Kurau, Muhamad Aiman Aizuddin Md Husin, 29, yang mencabar kerusi disandang Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria.


Seorang lagi pencabar generasi Y yang juga calon termuda Perak, Ahmad Saqif Ansorullah Ahmad Jihbadz Mokhlis, 26, menggalas amanah besar untuk merebut kerusi Dun Selinsing yang disandang Pas pada PRU lalu.


Pendekatan Pas Perak kali ini jauh lebih berani berbanding pilihan raya terdahulu apabila turut membariskan calon muda kalangan bukan Melayu.


Pertaruhan M Yougan, 31, di Parlimen Kampar satu rekod dalam membuktikan keterbukaan parti itu mengiktiraf penglibatan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) sebagai penyokong kuat Pas.


Pertama kali bertanding, beliau mencabar dua nama besar dalam politik iaitu Naib Presiden MCA, Datuk Lee Chee Leong dan Penolong Setiausaha DAP Pusat, Su Keong Seong.


Pendek kata, sejak kempen bermula, Sabtu lalu cabaran sebenar dihadapi barisan calon muda ini adalah untuk memperkenalkan diri dan meyakinkan pengundi akan kemampuan diri mereka sebagai pemimpin.


INFO


Pertembungan dua calon muda


N.19 – Chenderoh


Nama: Khairul Anuar Musa


Umur: 33


Parti: PKR


 


Nama: Mohammad Farid Faizi Azizan


Umur: 29


Parti: Pas


 


N.27 – Pasir Pinji


Nama:  Ng Kai Cheong


Umur: 34


Parti: MC


 


Nama: Lee Chuan How


Umur: 35


Parti: DAP


 


N.42 – Keranji


Nama: Daniel Wa Wai How


Umur: 30


Parti: MCA


 


Nama: Chong Zhemin


Umur: 33


Parti: DAP


 


Senarai calon muda (35-21 tahun)


BN


1.    Ahmad Saidi Mohamad Daud, 34, Dun Changkat Jering


2.   Lee Li Kuan, 30, Dun Pokok Assam


3.   Ng Kai Cheong, 34, Dun Pasir Pinji


4.   Guo Nan, 35, Dun Bercham


5.   Yuen Chan How, 30, Dun Tronoh


6.   Wa Wai How, 30, Dun Keranji


 


PKR


1.   Ahmad Saqif Ansorullah Ahmad Jihbadz Mokhlis, 26, Dun Selinsing


2.   Muhamad Aiman Aizuddin Md Husin, 29, Dun Batu Kurau


3.   Chua Yee Ling, 35, Dun Kuala Sepetang


4.   Khairul Anuar Musa, 33, Dun Chenderoh


5.   Muhamad Arafat Varisai Mahamad, 35, Dun Hulu Kinta


6.   Choi Tsi Jen, 30, Dun Canning


7.   Lee Chuan How, 35, Dun Pasir Pinji


8.   Chaw Kam Foon, 35, Dun Menglembu


9.   Teoh Yee Chern, 28, Dun Astaka


10.  Chong Zhemin, 33, Dun Keranji


 


Pas


1.   Muhammad Mujahid  Mohammad Fadzil, 32, Parlimen Lenggong


2.   M Yougan, 31, Parlimen Kampar


3.   Muhammad Rif’aat Razman, 31, Dun Kota Tampan


4.   Mohd Hafez Sabri, 32, Dun Manjoi


5.   Mohammad Farid Faizi Azizan, 29, Dun Chenderoh


6.   Muhammad Zulfadli Zainal, 34, Dun Slim


Source: SH Politik

[featured-video-plus]