Gaji minimum dah tak realisitik: Azmin

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Gaji minima pekerja sebanyak RM1,000  di negara ini didakwa masih pada tahap tidak realistik  dengan hampir sebahagian besar daripada pekerja  bergaji bawah RM1,700.


Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, lebih menyedihkan keadaan ekonomi negara semakin gawat ketika ramai bergelut dengan krisis kos sara hidup dan gaji yang rendah.


Dengan gaji yang rendah, katanya sudah tentu rakyat tidak dapat menghadapi cabaran cukai dan kenaikan harga barang.


Menurutnya, ia berbeza di Selangor, gaji minima penjawat awam negeri adalah pada kadar RM1,500.


“Saya percaya jika  pekerja mempunyai gaji lebih tinggi, mereka dapat menyumbang lebih kepada ekonomi. Pakatan Harapan (Harapan) bertekad untuk meningkatkan gaji minima bagi semua jenis pekerjaan kepada RM1,500 selepas kita ke Putrajaya.


“Itulah faktor utama Selangor menjadi penyumbang terbesar iaitu 23 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) kerana di negeri ini pekerja menjadi tulang belakang ekonomi,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Pekerja 2018.


Azmin berkata, kerajaan negeri mengorak jauh ke depan dengan menggunakan strategi pembangunan berasaskan inovasi serta ekonomi yang berasaskan pengetahuan atau ‘knowledge economy’.


Dalam masa sama daya saing pekerja ditingkatkan  selaras dengan tawaran Harapan mewujudkan 1 juta pekerjaan berkualiti untuk anak muda yang bergaji tinggi, sebanyak RM2,500 ke atas.


“Saya mohon pekerja supaya menggembleng tenaga, berganding bahu dan membuat pilihan betul dalam PRU14. Pilihlah parti yang akan membela dan memelihara kebajikan pekerja. Pilihlah parti yang mengiktiraf hak pekerja dan kesatuan pekerja.


“Di Selangor,  Harapan  membuktikan bahawa kita peduli kebajikan dan keluhan pekerja. Hantarlah kita ke Putrajaya, dan kita dapat memartabatkan hak dan kebajikan semua pekerja Malaysia. Salam Hari Pekerja 2018!,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]