Henti takutkan penjawat awam

in Edisi Utara by


BUKIT MERTAJAM – Penjawat awam tidak perlu takut untuk keluar mengundi dan memilih pembangkang pada PRU14 kali ini kerana undi mereka semestinya adalah rahsia.


Calon PKR Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, pihaknya memandang serius kekhuatiran 1.6 juga penjawat awam berhubung dakwaan undi mereka mampu dikesan kerajaan termasuk menghalang keterlibatan mereka dalam politik.


Menurutnya, mungkin ada yang menganggap sebagai kakitangan awam mereka perlu taat kepada kerajaan pemerintah namun sebaliknya ketaatan mereka hanyalah kepada Yang Dipertuan Agong dan negara.


“Ternyata tanggapan ini meleset kerana undi mereka semestinya rahsia. Tidak ada sesiapa yang boleh mengetahui untuk siapa anda membuang undi.


“Sempena hari pekerja yang diraikan hari ini, kami ingin menegaskan komited kami untuk memperkasakan kakitangan kerajaan dan bukannya menekan mereka sekiranya kami diberi mandat memimpin negera,” katanya pada sidang media di Yayasan Aman di sini tadi.


Hadir sama, calon PKR Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin.


Dalam pada itu, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR berkata, pihaknya menolak fitnah bahawa Harapan akan membuang penjawat awan sekiranya mereka memegang tampuk pemerintahan negara kerana ia tidak menggambarkan pendirian sebenar dan ia hanya diguna pakai untuk menakutkan kumpulan pekerja terbabit.


“Kami percaya bebanan tugas penjawat awam bertambah disebabkan campur tangan politik yang merumitkan birokrasi serta menyusahkan sesuatu urusan kerajaan.


“Semestinya Harapan akan mengubah norma ini sekiranya diberikan mandat memerintah negara,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]