Jangka nilai kontrak berganda

in Bisnes by


SYARIKAT Bumiputera pakar dalam bidang hiasan dalaman dan ubai suai rumah, Gemilang Irsyad Resources (Gemilang Irsyad) mahu mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran dan menjangkakan nilai kontrak yang akan dikendalikannya berganda pada tahun ini berbanding RM2.6 juta pada tahun lalu.


Pengasasnya, Dr Badrul Hisham Mohd Yusoff optimis sasaran itu mampu dicapai berikutan trend permintaan pelanggan terhadap perkhidmatan yang diberikan meningkat antara tiga hingga empat kontrak sebulan melibatkan pelbagai jenis rumah.


Menurutnya, peningkatan pertumbuhan pembangunan projek perumahan yang pesat juga memacu kepada jangkaan tersebut kerana kebanyakan pemilik rumah baharu merupakan generasi muda yang mahu rumah mereka selesa dan dihias mengikut trend dan cita rasa masing-masing.


“Penglibatan saya sejak 10 tahun lalu melihat trend permintaan hiasan dalaman meningkat dari tahun ke tahun. Kepesatan projek pembangunan perumahan terutamanya di Lembah Klang melibatkan pelbagai jenis rumah, mendorong permintaan terhadap hiasan dalaman dan ubai suai rumah meningkat.


“Setakat ini, Gemilang Irsyad beroperasi di Lembah Klang dan Pulau Pinang sahaja, malah kami juga mendapat permintaan dari seluruh negara. Kebanyakan pelanggan menggunakan perkhidmatan kami untuk menghias keseluruhan rumah, malah ada antaranya hanya memilih ruang tamu, dapur, bilik tidur,” katanya.


Bagaimanapun katanya, keupayaan syarikat yang hanya mempunyai dua kumpulan utama yang bertanggungjawab terhadap kerja dalam hiasan dalaman dan bidang dekorasi rumah menyebabkan tumpuan utama adalah kedua-dua kawasan tersebut.


“Kami mempunyai kepakaran dalam hiasan dalaman dan dekorasi rumah mengikut bajet yang diberikan pelanggan. Setakat ini, kami menyediakan perkhidmatan tersebut serendah RM22,000 dan kami mengambil masa untuk menyiapkannya bergantung kepada keluasan rumah. Sekiranya rumah flat, kami menjangkakan seawal tiga minggu ia disiapkan.


“Kami berpengalaman  mengubahsuai rumah dan membuat hiasan dalaman rumah flat, kondominium, teres dan banglo. Kami akan melihat kepada bajet pelanggan dan perbincangan akan dilalukan bagi memastikan konsep dan perabot serta material yang digunakan menepati cita rasa pelanggan,” katanya.


Dr Badrul berkata, pelbagai konsep dekorasi menjadi pilihan antaranya ‘urban retro’, minimalis, kontemporari, hipster, Scandinavian, Asian, kontemporari, cottage, gaya English, Mediterranean, moden, tradisional, klasik dan tropika.


“Gemilang Irsyad turut bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan kelulusan daripada kerja-kerja yang dilaksanakan,” katanya.


 


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]