Kebajikan rakyat jadi agenda utama

in Edisi Terengganu by


DUNGUN – Manifesto PRU13 oleh kepimpinan Pas tidak mungkin terlaksana untuk masyarakat di Dungun selagi tampuk kepimpinan masih dikuasai kerajaan sekarang.


Walaupun menang di Parlimen dan tiga Dun di daerah ini, kepimpinan Pas terpaksa berbalik kepada asal iaitu berkhidmat kepada rakyat.


Calon Pas untuk P39 Parlimen Dungun yang juga penyandang Ahli Parlimen Dungun sebelum ini, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, manifesto hanya mampu dilaksanakan apabila sesebuah parti dapat menerajui kerajaan.


Menurutnya, apa yang menjadi keutamaan untuk masyarakat Dungun ialah kebajikan rakyat dan pengundi.


“Selagi kita tidak dapat jadi kerajaan, kerja utama kita adalah menjaga kebajikan dan berkhidmat untuk rakyat.


“Sepanjang tempoh lima tahun banyak kerja-kerja kebajikan kita bangunkan dan perjuang. Kita telah beri perkhidmatan sebaik mungkin kepada rakyat,” katanya.


Beliau berkata, antara usaha kebajikan yang direalisasikan ialah unit khidmat masyarakat Parlimen dan Dun.


“Kita berjaya sediakan kemudahan van jenazah di Parlimen dan semua Dun untuk kemudahan rakyat. Kita terpaksa mencari dana untuk bantuan Parlimen sendiri dan di Dun.


“Banyak kerja kebajikan berjaya kita laksanakan walaupun tiada peruntukan. Walau berdepan cabaran dan halangan, kita berjaya laksanakan kerja kebajikan dengan baik,” katanya.

 


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]