Melaka United dalam proses 'cuci pasukan'

in Sukan by


MELAKA United memberi peluang terakhir kepada pemain-pemainnya untuk kembali beraksi dalam prestasi terbaik dan bangkit mencipta kemenangan sebelum jendela perpindahan kedua dibuka bulan ini.


Timbalan Presiden merangkap pengurusnya, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk melakukan rombakan pemain demi memastikan pasukan itu tidak terjerumus ke saingan Liga Premier musim depan.


“Memang membimbangkan apabila melihat kita semakin jatuh dan jatuh. Bukan sahaja kami, bahkan penyokong juga sudah merungut dengan persembahan longlai pasukan.


“Jadi, beberapa persembahan terakhir sebelum jendela perpindahan dibuka (termasuk menentang Perak malam esok) akan dijadikan penentu kepada beberapa pemain yang sudah dikenalpasti yang mana kami turut memberikan amaran terakhir kepada mereka,” katanya ketika dihubungi.


Katanya lagi, bukan hanya pemain import sahaja yang mungkin berdepan pengguguran bahkan ia juga bakal terpalit kepada pemain-pemain tempatan.


“Kami telah membawa ramai pemain tempatan yang ada nama besar dalam bola sepak Malaysia. Tetapi lihatlah, tiada seorang pun pemain tempatan ini menjadi sebutan pihak-pihak akhbar mahu pun peminat.


“Saya memang agak kecewa kerana pada awal musim lalu saya ada mengatakan bahawa barisan pemain tempatan yang ada musim ini adalah lebih baik berbanding musim-musim terdahulu. Tetapi sayangnya, kerjasama berpasukan itu tiada dan hasilnya tiada impak ditinggalkan untuk pasukan,” katanya.


Pada masa sama, Yusoff turut memberi bayangan akan ada lebih banyak kejutan bakal melanda Melaka United yang akan diumumkan dalam masa terdekat ini.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]