Minat barakan semangat keusahawanan

in Uncategorized by


BATU GAJAH – Memulakan perniagaan seawal usia 22 tahun bukanlah satu perkara muda bagi seorang anak muda dari Batu Gajah ini.


Hanya berbekalkan minat dan dorongan keluarga, M Sivanessan, 25, cuba menjinakkan diri dalam bidang perniagaan dengan membuka sebuah kedai telekomunikasi.


Minatnya tercetus ketika membantu bapanya yang sebelum ini membuka kedai video.


“Saya memang minat meniaga sejak dulu sebab selalu tolong ayah. Jadi saya fikir nak meniaga dan saya nampak kedai telekomunikasi sesuai.


“Lagipun saya fikir kedai telekomunikasi ini sentiasa ada pelanggan sebab orang masih pakai telefon,” katanya kepada Sinar Harian.


Menurutnya, pada peringkat awal dia membuka kedai menggunakan modal sendiri tetapi tidak mencukupi sehinggalah mengetahui kerajaan negeri mempunyai skim mikrokredit kelolaan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU).


Sivanessan yang memohon buat pertama kali mencuba nasib dan akhirnya permohonan berjaya dengan pinjaman pertama RM8,000.


Katanya, sejak dari itu perniagaannya mula menampakkan tanda-tanda positif dan terus berkembang.


“Apa yang bagusnya pinjaman YBU ini sebab tanpa faedah. Tak macam bank jadi kita bayar apa yang kita pinjam.


“Bila dah berkembang, saya mohon pinjaman kedua dan berjaya dengan jumlah RM30,000,” katanya.


Katanya, dengan jumlah sebanyak itu perniagaannya terus berkembang maju dan diterima baik oleh masyarakat setempat.


Beliau berkata, ketika ini keuntungannya sebulan mencecah RM3,600 dan pelanggan sehari tidak kurang daripada 30 orang.


Ditanya mengenai rahsia kejayaan, Sivanessan berkata, hubungan baik dengan pelanggan merupakan perkara utama yang dititikberatkan.


“Kalau kita jaga bagi servis yang baik kepada pelanggan orang akan selalu datang. Saya nak orang Batu Gajah tak perlu pergi Ipoh kalau nak beli telefon sebab harga yang kita beri berpatutan.


“Jadi tugas saya untuk mudahkan orang untuk dapatkan perkhidmatan jadi pelanggan tak lari,” katanya.


Menurut anak kedua dari tiga adik beradik itu, dia menyarankan agar pinjaman mikrokredit itu diteruskan pada masa akan datang kerana ramai dapat manfaat tanpa mengira bangsa.


Katanya, YBU juga mungkin boleh menimbangkan jumlah pinjaman berdasarkan bentuk atau jenis perniagaan selain meningkatkan jumlah pinjaman bagi mereka yang mempunyai rekod baik dari segi bayaran balik pinjaman.


“Saya rasa kalau perniagaan telekomunikasi macam saya mungkin boleh berikan modal pinjaman dalam RM15,000 hingga RM30,000 kerana nak beli barang-barang agak mahal.


“Tetapi saya yakin kerajaan akan teruskan bantuan seperti ini bagi membantu anak muda seperti saya mempunyai perniagaan sendiri,” katanya.


Profil


Nama: M Sivanessan


Umur: 24 tahun


Status: Bujang


Jenis perniagaan: Kedai telekomunikasi


Pinjaman bersama YBU: RM8,000 (2015) & RM30,000 (2016)


SKIM PINJAMAN MIKROKREDIT YAYASAN BINA UPAYA DARUL RIDZUAN


Sebuah Skim Pinjaman Mikro dengan menyalurkan pinjaman serta mengenalpasti Mata Pencarian Lestari (MPL) kepada golongan sasaran bagi mengubah taraf hidup kepada tahap yang lebih baik.


Program ini menggunakan pendekatan ‘Blue Ocean Strategy’ (Strategi Lautan Biru) di mana pinjaman yang diberikan tiada pertindihan dengan agensi pembiayaan yang lain termasuk menyediakan kursus bimbingan keusahawanan dan jaringan perniagaan.


Objektif


Mewujudkan mekanisme bagi meningkatkan pendapatan.


Memberi peluang dan mencipta pendapatan yang lestari kepada usahawan kecil yang ingin mengembangkan perniagaan


Melahirkan golongan yang berpengetahuan dalam bidang keusahawanan.


Menyalurkan bimbingan keusahawanan dan juga sebagai jaringan perniagaan.


Mewujudkan jaringan perniagaan.


Mengurangkan jurang kemiskinan antara penduduk negeri Perak.


Syarat Asas Kelayakan


Berumur antara 18 hingga 59 tahun


Pemohon dan pasangan merupakan warganegara Malaysia


Pemohon dan pasangan bukanlah seorang kakitangan kerajaan / badan berkanun / syarikat GLC / Berhad


Menjalankan perniagaan di dalam negeri Perak & telah berniaga lebih dari 6 bulan


Menjalankan perniagaan pemilikan tunggal


Aktiviti perniagaan yang dijalankan adalah berlandaskan syariah


Pemohon & pasangan tidak menerima pinjaman daripada agensi lain


Transaksi perniagaan yang dijalankan adalah tunai / kredit tidak melebihi 1 bulan sahaja


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]