Ocean Infinity masih optimis kesan MH370

in Global by


SYDNEY – AUSTRALIA. Imbasan baharu lantai Lautan Hindi dalam misi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 sejak Januari lalu tidak menunjukkan sebarang tanda penemuan bangkai pesawat itu.


Namun Ocean Infinity, syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS) yang terbabit dalam pencarian MH370, yakin akan menemui bangkai pesawat malang tersebut.


Dalam satu kemas kini semalam, Ocean Infinity berkata, ia sudah mengimbas sehingga 1,300 kilometer persegi kawasan sehari sejak melancarkan misinya di pantai barat Australia akhir Januari lalu.


Ia sudah melakukan pencarian di kedua-dua dalam dan luar kawasan dikenal pasti pihak berkuasa Australia.


“Walaupun tiada tanda MH370 berada di kawasan pencarian Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) namun masih ada baki masa pencarian.


“Semua di Ocean Infinity masih bersemangat dengan baki pencarian,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Ocean Infinity, Oliver Plunkett.


MH370 hilang tanpa jejak pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 239 penumpang, ia dipercayai terhempas di selatan Lautan Hindi berdasarkan corak hanyut nahas.


Kerajaan Malaysia, China dan Australia menangguhkan pencarian rasmi pada Januari 2017 selepas laporan akhir ATSB mengakui pihak berkuasa gagal mengesan lokasi sebenar pesawat.


Januari lalu kerajaan Malaysia berjanji akan membayar AS$70 juta (RM277.48 juta) kepada Ocean Infinity jika ia berjaya menemui bangkai pesawat atau kotak hitam pesawat dalam tempoh 90 hari. -Agensi


Source: SH Global

[featured-video-plus]