Pakatan Harapan sekadar ‘test market’

in Edisi Terengganu by


KUALA NERUS – Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menyifatkan kehadiran Pakatan Harapan (Harapan) di negeri ini sekadar untuk ‘test market’ atau menguji pasaran.


Menurut beliau, gambaran jelas itu dapat dilihat dengan jumlah penyokong parti itu yang hadir pada Program Jelajah Harapan di Terengganu yang turut disertai bekas perdana menteri, Tun Mahathir Mohamad di Dungun, malam kelmarin.


“Di Terengganu ini, kita nampak Harapan sekadar untuk ‘test market ‘. Jadi kita tidak perlu bimbang atau khuatir (kehadiran Harapan). Apa yang penting sekarang ini adalah kita fokus kepada kemenangan BN pada PRU14 ini,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui sebaik selesai menyempurnakan Majlis Penyerahan Kad Siswa Generasi Terengganu (Kad Gen-T) di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini, hari ini.


Menurut Ahmad Razif, meskipun pengaruh Harapan di negeri ini tidak kuat, namun BN Terengganu tetap mengambil sikap untuk tidak memandang mudah terhadap parti lawan.


“Fokus BN ketika ini adalah memastikan segala persediaan untuk menghadapi 9 Mei akan berjalan lancar dan memastikan jentera juga bergerak seiring,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]