Pakatan Harapan terdesak kitar semula isu pengundi hantu

in Politik by


SHAH ALAM – Calon Pakatan Harapan yang bertanding atas tiket PKR pada PRU14 dilihat berada dalam keadaan terdesak apabila sanggup mengitar semula ‘cerita basi’ berhubung dakwaan pengundi ‘hantu’ di kawasan Parlimen Shah Alam.


Calon kerusi Parlimen Shah Alam Datuk Azhari Shaari berkata dakwaan calon PKR Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga Rodziah  Ismail mengenai perkara itu hanya bertujuan mengaburi kegagalan dirinya sepanjang 10 tahun bergelar wakil  rakyat di kawasan DUN berkenaan.


“Pakatan Harapan ini tidak serik-serik berbohong dan memfitnah untuk meraih undi, tuduhan dia (Rodziah) tidak masuk akal,” katanya kepada pemberita selepas  menghadiri makan malam bersama Veteran Umno Shah Alam di sini, malam tadi.


Turut hadir pada majlis itu ialah calon-calon BN DUN Kota  Anggerik Jumaeah Masdi dan calon BN DUN Batu Tiga Datuk Ahmad Mua’adzam Shah Ya’akop. Kedua-dua DUN itu termasuk dalam Parlimen Shah Alam.


Semasa mengulas dakwaan Rodziah mengenai pertambahan mendadak pengundi kawasan berkenaan, Azhari  berkata Rodziah nampaknya terdesak dan ketandusan idea untuk memancing undi sehinggakan terpaksa menggunakan fitnah dan pembohongan.


Pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan Rodziah sedang ‘kepanasan’  berikutan permasalahan  dalaman dan jentera parti selain berdepan dengan penolakan pengundi terhadap beliau sendiri.


Pada PRU kali ini, calon PKR itu bakal berdepan dengan Ahmad Mua’adzam dari BN dan Abdul Halim Omar dari PAS dalam pertandingan tiga penjuru.


Rodziah merupakan penyandang kerusi DUN Batu Tiga yang dimenanginya pada PRU13 lepas dengan majoriti 3,805 undi mengalahkan calon BN Datuk Ahmad Nawawi M Zin dan calon bebas, Mohd Uzi Che Hussin.


Azhari pula akan berdepan pertandingan tiga penjuru menentang calon PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki dan penyandang kerusi Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dari Pakatan Harapan yang memenangi kerusi itu pada PRU13 atas tiket PAS. – Bernama


Source: SH Politik

[featured-video-plus]