Peluang menang sama rata

in Edisi Terengganu by


SETIU – Sejarah PRU13 merekodkan, jumlah keluar mengundi paling ramai di Dun Batu Rakit iaitu 89.3% berbanding Dun-Dun lain di Parlimen Setiu.


PRU kali ini pula berlaku pertambahan jumlah pengundi sehingga seramai lebih 7,000 orang ekoran persempadanan semula yang dibuat sebelum ini.


Adakah persempadanan semula Tepuh ke Batu Rakit meningkatkan lagi jumlah keluar mengundi bagi Dun berkenaan atau memberi tiket selesa kepada BN, Pas atau PKR?


Ada pihak yang mendakwa persempadanan semula itu dibuat bagi memenangkan BN pada PRU14 tetapi adakah itu benar atau sekadar spekulasi?


Ada pula cerita, BN sendiri menolak persempadanan semula itu dalam satu kenyataan media tempatan pada 2016.


Jadi, kelebihan persempadanan semula itu sebenarnya membawa mesej apa dan memberi manfaat kepada siapa?


Namun apa pun yang telah dibuat (persempadanan semula), calon-calon PRU14 daripada ketiga-tiga parti (BN, Pas, PKR) sedikit pun tidak berganjak dengan perjuangan masing-masing.


Malah pertembungan tiga penjuru di kebanyakan Dun di seluruh negara termasuk Terengganu khususnya Dun Batu Rakit telah ditakdirkan begitu atas izinNya.


Selepas sahaja penamaan calon dimeterai, calon muda dari PKR, Azmi Long, 31, calon Pas juga anak muda Mohd Shafizi Ismail, 34, terus melancarkan gerakan ke kampung-kampung, PDM dan sebagainya.


Calon otai BN, Bazlan Abd Rahman, 54, atau lebih mesra disapa sebagai Pok Lan dilihat tidak mahu mengalah dengan lawan-lawannya yang masih baharu dan muda itu.


Katanya, dia juga berjiwa muda, kerja buat dilakukan seperti biasa dan tiada masalah bertanding dengan calon-calon muda.


“Saya keluar dari jam 9 pagi dan balik 2 pagi, itu tidak jadi masalah bagi saya,” katanya.


Begitu juga calon Pas, Mohd Shafizi, walaupun baharu tetapi dia bijak mengatur langkah sejak awal namanya dicalonkan, sehingga hari penamaan dan sekarang ini malah tika ini dia masih lagi berkempen sehabis boleh.


Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas negeri itu telah berjumpa anak muda, golongan veteran, sederhana, juga orang miskin.


Itu yang dilakukan siang dan malam sebagai calon di Dun Batu Rakit dan ia dapat dilihat melalui laman muka buku miliknya sendiri yang memuat naik aktivitinya sehari-hari.


Manakala dilihat dari sisi calon PKR pula, calonnya, Amir Long dari Bersatu seorang berjiwa besar dan mempunyai misi tinggi dalam pembangunan di Dun Batu Rakit.


Dia dianggap calon ‘bersih’ oleh Bersatu sehingga layak dicalonkan bagi kerusi N08 walaupun bukan berasal dari Batu Rakit.


Ketua Penerangan Bersatu itu pernah berkata kepada media akan membawa suara anak muda di dalam dewan, sediakan kemudahan, bangunkan Batu Rakit dan banyak lagi yang dirancang.


Dalam pada itu, seorang pengundi di Dun Batu Rakit, Norlida Hassan, 30, berkata, kawasan itu sedang membangun dan penduduk sangat padat tetapi perumahan agak kurang.


“Ia menjadi masalah penempatan kepada mereka yang bekerja dan sebagainya di kawasan ini kerana tiada tempat tinggal.


“Harap lebih banyak perumahan dibina di kawasan ini walau siapa pun akan menang nanti,” katanya.


Manakala, Dahlia Isa, 30, berkata, kawasan Batu Rakit perlu diperbanyakkan fasiliti kerana dilihat sangat kurang dari segi itu.


“Kalau ada urusan, rakyat kena keluar ke Gong Badak atau Kuala Terengganu termasuk juga kemudahan mesin pengeluaran wang automatik (ATM).


“Satu lagi, laluan jalan Batu Rakit kalau diikutkan jalan alternatif, sepatutnya dari segi kemudahan (pam minyak dan ATM) menjadi keperluan untuk pengguna.  


“Harap selepas ini ada perubahan di Dun Batu Rakit,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]