Pengantin 11 hari antara terkorban

in Edisi Johor by


KULAI – Pengantin yang baharu bernikah 11 hari antara mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di KM 29.9 Lebuhraya Linkedua, di sini, tengahari tadi.


Muhammad Safuan Sazali, 23, maut bersama dua rakannya Muhammad Aseel Habel Akbar, 21, dan Mohamad Ridzuan Mohamad, 24, dalam kejadian jam 12 tengah hari itu.


Sementara itu isteri Muhammad Safuan, Nur Syahirah Mohamad Farid, 21 bersama dua rakan mereka, Nur Zaffira Zulkhairi, 25, dan Muhammad Hamirul Ikmal Ishamuddin, 24, dilaporkan mengalami kecederaan dan kini masih mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Kulai, di sini.


Ibu Muhammad Safuan, Rohani Abdullah, 47, memberitahu, dia mendapat tahu tentang kejadian berkenaan daripada anak bongsunya, Muhd Syahrizal, 19, yang memberitahu abangnya terlibat dengan kemalangan.


[ ARTIKEL BERKAITAN: TIGA MAUT KEMALANGAN LIBAT DUA KERETA ]


“Saya berusaha menelefon anak saya itu, tetapi gagal. Kemudiannya saya telefon isterinya, namun ia dijawab orang lain dan diberitahu anak saya sudah tiada.


“Arwah baharu sahaja melangsungkan perkahwinan dan hari ini adalah hari ke-11 dia bergelar suami,” katanya ketika ditemui di perkarangan Rumah Mayat Hospital Kulai, di sini, hari ini.


Rohani memberitahu, sebelum kejadian, anaknya bersama keluarga sebelah mertuanya berkelah di Tanjung Balau, Kota Tinggi.


“Bagaimanapun, ketika kejadian, saya difahamkan dia bersama rakan-rakannya dalam perjalanan berkonvoi dua kereta untuk makan di Restoran Kambing 40 hari di Yong Peng,” katanya yang memberitahu arwah berniaga sate di pasar malam.


Suri rumah itu memberitahu, anak kedua daripada empat beradik itu menunjukkan perubahan ketara sebaik mendirikan rumahtangga.


“Arwah seorang yang pendiam. Bagaimanapun, selepas bernikah dia bertambah diam dan kerap termenung. Apabila, saya tanya dia dia menjawab tidak ada apa-apa.


“Malah, sejak-sejak akhir-akhir ini, kalau pulang ke rumah, dia akan masuk ke bilik saya untuk memeluk dan mencium bantal yang digunakan saya sedangkan perbuatan berkenaan tidak pernah dilakukan sebelum ini.


“Saya juga bertambah hairan, memandangkan arwah bukannya seorang anak yang manja,” katanya yang tinggal di Sejahtera, Kota Tinggi.


Ujarnya lagi, jenazah anaknya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Makam, Kota Tinggi selepas solat Maghrib.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]