Perebutan kerusi Wangsa Maju selesai

in Politik by


KUALA LUMPUR – Calon BN bagi kerusi Parlimen Wangsa Maju, Datuk Seri Yew Teong Look melihat tidak timbul lagi isu perebutan kerusi antara Umno dan MCA untuk bertanding kawasan itu dan menganggap perkara itu selesai dengan menghormati keputusan pimpinan tertinggi BN.


Teong Look yang mewakili MCA berkata, dia melihat perkara itu sebagai situasi biasa dalam politik dan dari sudut positif menunjukkan setiap parti komponen begitu bersemangat demi memastikan BN mencapai kemenangan pada PRU14.


Malah, Teong Look juga menyeru jentera Umno Wangsa Maju untuk sama berpadu tenaga bagi memastikan Parlimen Wangsa Maju menjadi milik BN.


“Saya melihat secara positif perkara itu dan ia situasi biasa berpolitik. Saya memahami pasti ada pihak yang sedikit kecewa, malah saya sendiri pernah melaluinya sewaktu PRU13.


“Namun saya kira perkara itu selesai apabila pimpinan BN memuktamadkan keputusan. Saya berharap semua jentera komponen BN dapat berpadu tenaga membantu calon di kawasan mereka.


“Malah sebagai calon di Wangsa Maju, saya amat memerlukan sokongan jentera Umno kawasan. Jadi, saya berharap kita lupakan isu itu dan sama-sama fokus untuk kebaikan Wangsa Maju dan BN,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan MCA Wangsa Maju, hari ini.


Terdahulu, sebelum diputuskan oleh pimpinan tertinggi BN, kerusi Wangsa Maju menjadi perebutan antara dua parti komponen BN iaitu Umno dan MCA sehingga ada sebahagian jentera parti bertindak mahu memboikot calon yang bukan dari parti mereka.


Teong Look, sebelum ini pernah memenangi kerusi berkenaan pada PRU11 sebelum tewas kepada calon PKR, Wee Choo Keong dengan majoriti 150 undi pada PRU12.


PRU13 pula menyaksikan kerusi Wangsa Maju ditandingi oleh calon Umno, Datuk Mohd Shafei Abdullah yang tewas kepada calon PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong dengan majoriti 5,511 undi.


Sementara itu, mengulas keyakinannya menjelang 9 Mei ini, Teong Look berkata, tidak mustahil Wangsa Maju kembali menjadi milik BN jika jentera pilihan raya bersatu padu mencapai matlamat.


Malah, dia turut menjelaskan tujuh manifesto khas untuk pengundi dan penduduk Wangsa Maju.


“Antara manifesto utama daripada saya untuk Wangsa Maju ialah untuk membina Pusat Transformasi Bandar (UTC) Wangsa Maju bagi memudahkan urusan harian antara penduduk dan agensi kerajaan.


“Selain itu, kita akan sediakan 5000 unit rumah mampu milik untuk golongan belia bawah 40 tahun dan berkahwin selain menangani masalah kesesakan lalu lintas dengan melebarkan jalan serta memanjangkan laluan LRT ke lokasi yang dikenal pasti,” katanya.


Turut diberi perhatian dalam manifesto berkenaan ialah pemerkasaan pendidikan di sekolah, menaiktaraf kemudahan rumah ibadat pelbagai agama, pemindahan lokasi Uptown Setapak Indah ke lokasi lebih praktikal serta memindahkan Ibu Pejabat Polis (IPD) dari Pudu ke Wangsa Maju.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]