Tiupan angin positif

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


MASJID TANAH  – Corak angin perubahan pengundi-pengundi Parlimen Masjid Tanah memberi keyakinan kepada Pas untuk meletakkan sasaran menawan semua kerusi Dun dan Parlimen itu pada PRU14.


Calon Pas Parlimen Masjid Tanah yang juga bekas pensyarah, Mohd Nasir Othman berkata, tiupan angin itu turut membawa perubahan penerimaan positif dalam kalangan masyarakat bukan Islam terutama Cina dan India yang semakin diterima baik.


“Kita akan terus berkempen dengan membawa agenda kebajikan rakyat tanpa menyentuh kelemahan mahupun keburukan pihak lawan seperti mana yang agama Islam tekankan supaya tidak memburukkan keadaan mahupun menimbulkan fitnah serta perbalahan.


“Sebelum ini golongan bukan Islam kurang didedahkan mengenai Pas yang sebenarnya Parti yang relevan untuk semua,” katanya ketika ditemui di Markas Pas Masjid Tanah di sini, tadi.


Menurutnya, dalam beberapa hari berkempen terdapat penduduk yang kurang bernasib baik ditemui dalam Parlimen itu dan keadaan itu menunjukkan golongan itu seolah-olah kurang mendapat pembelaan.


“Saya tersentuh masih ada rakyat yang susah dan perkara-perkara seperti in akan diberikan perhatian yang sewajarnya bertepatan dengan perjuangan yang dibawa Pas.


“Kita mahu bekerja untuk rakyat demi nak membawa perubahan, kita bergerak selangkah demi selangkah kerana amanah bukan sebab marah pada Umno atau sesiapa tapi nak jalankan tanggungjawab kepada negara.


Mohd Nasir berkata, terdapat dua prinsip yang dipegang iaitu solusi dan insani yang bermaksud bekerja kerana ALLAH SWT namun tetap reda menerima apa jua keputusan pada 9 Mei ini walaupun kemenangan sebenar sudah dimiliki kerana tidak berpegang kepada kebatilan.


“Setiap Dun dikenal pasti mempunyai permasalahan tersendiri termasuk di kawasan Lendu, Kuala Linggi dan Tanjung Bidara.


“Dalam masa sama kita terus turun ke bawah untuk bersama masyarakat dan membawa manifesto Pas Malaysia Sejahtera seperti.


Menurutnya, manifesto itu antaranya menghapuskan GST selain melupuskan hutang peminjam-peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sekiranya menang kelak.


“Dua perkara dilihat membebankan rakyat ialah GST yang sebenarnya tidak adil dan jika menang kita akan gantikan dengan cukai atas simpanan korporat dan cukai saham di Bursa Saham Malaysia,” katanya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]