Tun Daim hadir kempen Azmin

in Edisi Selangor KL by


KLANG – Kehadiran bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin ke program ceramah umum Pakatan Harapan (Harapan) Bersama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Telok Gong malam tadi dipercayai bagi memberi sokongan kepada parti itu.


Calon Dun Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri yang sedang menunggu ketibaan Mohamed Azmin juga dikatakan terkejut dengan kehadiran orang kanan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu.


Menurut sumber, Daim tiba di kawasan kampung berkenaan lebih awal sebelum ketibaan Mohamed Azmin ke program itu.


“Daim datang tanpa diketahui sesiapa dan kehadirannya sangat mengejut ramai pihak.


“Ramai yang tidak perasan itu Daim memandangkan dia memakai topi dan kelihatan seperti penduduk kampung biasa, kami ingatkan penduduk tempatan pada mulanya,” katanya ketika ditanya Sinar Harian berkenaan kehadiran Daim ke program itu.


Menurutnya lagi, sebaik Mohamed Azmin ternampak Daim, kedua-duanya bersalaman dan berbual ringkas.


“Mereka kemudiannya duduk di barisan yang sama sambil menyambung perbualan, kurang sejam Daim beredar pulang dengan menaiki keretanya sendiri,” katanya.


Terdahulu, Pengerusi Harapan Selangor, Mohamed Azmin hadir ke ceramah umum Kampung Telok Gong melalui Jelajah Pakatan Harapan bagi tujuan berjumpa dengan pengundi di Dun Pelabuhan Klang sebelum meneruskan program sama ke Bukit Kapar, Sementa beberapa jam kemudian.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]