Warga New Zealand hilang di Pantai Tanjung Sedili

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Seorang kru kapal layar dipercayai hilang ketika sedang mandi di perairan pantai Jason Bay, Sedili Kecil, dekat Kota Tinggi, malam semalam.


Mangsa, Robert Mark Fagan, 63, warganegara New Zealand dipercayai hilang setelah mandi berhampiran kapal layarnya yang sedang bersauh di posisi lebih kurang satu batu nautika dari pantai itu.


Timbalan Pengarah Operasi Maritim Selatan, Kapten Martim Sanifah Yusof berkata, pihaknya menerima laporan dari rakan mangsa kira-kira jam 3 pagi memaklumkan kehilangan mangsa.


Menurutnya, operasi mencari mangsa diaktifkan sebaik menerima laporan kecemasan dari rakan mangsa.


“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan pagi ini dengan melibatkan agensi penyelamat dari Maritim Malaysia, polis, bomba dan APM dengan kekuatan pegawai dan anggota 31 orang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.


Sanifah berkata, keluasan sektor pencarian pada hari ini lebih kurang 10 batu nautika persegi di sepanjang perairan Sedili Kecil.


Katanya, pencarian juga dilakukan di sepanjang pantai Jason Bay yang dilakukan oleh agensi penyelamat di darat.


“Difahamkan kapal layar tersebut berlabuh di lokasi tersebut sebelum meneruskan pelayaran dalam program Sail Malaysia Passage to East Yacht Rally 2018,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]