Berbasikal dekati pengundi

in Politik by


TAMPIN – Tampil lain dari yang lain, calon PKR-Bersatu, Saiful Adly Abd Wahab, 40, melancarkan jentera Unit Kempen Berbasikal bagi memperkenalkannya sebagai calon muka baharu Pakatan Harapan (Harapan) dalam PRU14 ini.


Saiful dan isteri, Norazlina Esa, 40, berkempen pagi ini mengelilingi Kampung Gemencheh Lama bagi mengedarkan risalah diri serta mendekati pengundi dalam membawa mesej perubahan dalam manifesto Harapan.


Menurut Saiful, memilih untuk melancarkan unit kempen berbasikal adalah memandangkan aktiviti berbasikal merupakan aktiviti yang diminatinya selain aktiviti riadah lain dalam usaha mempromosikan gaya hidup sihat sejak dahulu lagi.


“Oleh itu, saya pagi ini telah melancarkan unit kempen berbasikal yang disertai oleh kira-kira 20 individu yang akan bergerak mengedarkan risalah sekurang-kurangnya ke sebuah perkampungan pada setiap hari sepanjang kempen PRU14 ini.


“Seramai 20 individu ini dipecahkan kepada dua kumpulan digerakkan ke 15 pusat daerah mengundi (PDM).  


“Unit berbasikal ini lebih sesuai untuk memasuki kawasan kampung yang kedudukan rumahnya berjauhan, selain ia juga adalah minat dan hobi saya,” katanya yang merupakan pernah memenangi Tempat ke-3 Powerman Asia 2016.


Sementara itu Saiful berkata, sepanjang empat hari berkempen di Dun Gemencheh, beliau tidak menyangka golongan berusia juga menyokong apa yang diperjuangkannya dan apa yang terkandung di dalam manifesto Harapan.


Menurutnya, sebelum ini dia hanya menjangkakan sokongan yang bakal diperolehnya adalah dari pengundi belia sahaja memandangkan beliau sebelum ini Pengerusi Majlis Belia Daerah Tampin selama kira-kira lapan tahun sebelum meletak jawatan baru-baru ini.


“Selama empat hari berkempen ini, sokongan golongan berusia juga amat menggalakkan untuk berubah, cuma bagi golongan berkenaan mereka berhadapan dengan kekangan usia untuk berjuang.


BIODATA CALON N35 GEMENCHEH


Nama: Saiful Adly Abd Wahab


Latar belakang:


 – Naib Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan (2014-2017)


 – Ahli Majlis, Majlis Perundingan Belia Negeri Sembilan (2014-2017)


 – Pengerusi Majlis Belia Daerah Tampin (2010-2018 namun sudah letak jawatan)


 – Biro Anti Dadah dan Gejala Sosial, Majlis Belia Malaysia (2004-2008)


 – Penggubal Rancangan Pembangunan Belia Negeri Sembilan (2004-2010)


 – Penaung Persatuan Belia Hidayaturahman Kampung Jelawai (2008-2018)


 – Ahli Jawatankuasa Alumni SM Sains Tuanku Jaafar, Kuala Pilah


 – Anugerah Belia Negara 2015 Peringkat N9 (Kategori Individu Lelaki)


 – Anugerah Belia Negara 2005 Peringkat N9 (Kategori kepimpinan)


 – Ikon Belia 2004


 – Tempat ke-3 Powerman Asia 2016


 – Pendaki Gunung Elbrus, Rusia


 – Orang Asia Pertama Berbasikal ke Puncak Gunung Rinjani, Indonesia


Tarikh lahir calon: 18 Mei 1978


Nama pasangan calon: Norazlina Esa


Nama anak calon: Nur Alya Ishaireen (6 tahun)


 Nur Alya Syaqireen (4 tahun)


 Nur Alya Zahireen  (9 bulan)


Akademik:


 – Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Universiti Putra Malaysia (1997-2000)


 –  Sijil Matrikulasi Perakaunan UPM Cawangan Terengganu (1996-1997)


 – Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar, Kuala Pilah (1991-1995)


 – Sekolah Kebangsaan Air Kuning Selatan, Gemencheh (1985-1990)


Kerjaya: Usahawan


Source: SH Politik

[featured-video-plus]