Bersatu Pengerang akur calon luar jangkaan

in Edisi Johor by


KOTA TINGGI – Bersatu Bahagian Pengerang tidak menafikan calon bertanding di kerusi Parlimen itu pada PRU14 adalah calon di luar jangkaan mereka.


Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Pengerang, Abdul Razak Budu berkata, bagaimanapun selepas pertemuan dengan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad mereka akur dengan keputusan pucuk kepimpinan.


“Memang pada peringkat awal calon berkenaan di luar jangkaan kami. Namun berdasarkan pertemuan kami bersama Tun M menasihatkan kami agar terima.


“Kami akur dengan keputusan ini dan kami harap PKR P157 akan menang pada PRU14 ini berdasarkan isu-isu nasional dan tempatan yang berlaku di sini,” katanya kepada Sinar Harian.


Tambahnya, pihak bahagian sedang merangka jadual untuk bersama ke tiga-tiga calon PKR kawasan tersebut untuk berkempen ke semua tempat.


Katanya, bahagian mempunyai kekuatan dan jentera yang cukup untuk membawa mereka turun berkempen terutamanya di kawasan Felda dan kampung tradisional.


Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Calon PKR kerusi Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar semua ahli Bersatu di Pengerang menerima keputusan pelantikan Norliza Ngadiran sebagai calon.


Menurut beliau, sudah tiada masa lagi untuk menolak pemilihan calon berkenaan selain wanita terbabit juga dianggap tepat untuk bertanding di Parlimen itu.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]