Bertanding untuk pecah undi?

in Edisi Pahang by


KUANTAN – Setiap kali pilihan raya umum, kewujudan calon Bebas pasti menjadi tumpuan orang ramai.


Kebanyakan mereka biasanya bukan dalam kalangan yang popular, jauh sekali boleh menang dan ada antara mereka berpotensi hilang wang deposit.


Kerana itu, timbul persepsi dalam kalangan orang ramai yang menganggap kewujudan calon Bebas ini hanya sebagai ‘pengacau’ atau ‘penempel’ bagi memecah undi calon-calon parti sama ada BN, PKR atau Pas.


Namun begitu, tidak dinafikan ada calon Bebas ada pengikutnya tersendiri dan boleh diberi peluang sekiranya mereka sebenarnya berpotensi menjadi pemimpin kepada rakyat.


Di Pahang, PRU14 memperlihatkan kubu kuat BN di Parlimen Pekan sekali lagi didatangi calon Bebas hingga mendorong seorang ahli perniagaan, Datuk Paduka Abd Kadir Sainudin, 39, bertanding menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan dua lagi calon masing-masing seorang dari Bersatu yang menggunakan logo PKR dan Pas.


Abd Kadir Sainudin yang berasal dari Johor berkata, beliau percaya mereka yang tidak menyokong mana-mana parti bertanding akan memilihnya pada PRU14.


“Saya tidak ada kempen besar-besaran seperti parti lain tetapi menjadikan pengalaman bertanding di Dun Sedili, Johor pada PRU13 membantu mengharungi cabaran sebagai calon. Rancangan bertanding di Parlimen Pekan bermula tahun lalu. Tidak kisah kalau ada orang kata saya hanya cuba nasib di Pekan.


“Tetapi saya tahu, ada golongan yang tak suka pada BN, PKR dan Pas. Sebagai calon Bebas, mungkin pengundi akan memilih saya kerana menjadi pilihan terbaik pada ketika rakyat tidak menyokong mana-mana calon dan parti yang ada.

Dari kiri: Abd Kadir, Karunaneethi, Syed Mohammad Faiz


“Dengan kehadiran saya nanti dapat juga membantu. Daripada merosakkan undi, baik beri pada saya,” katanya di sini, semalam.


Manakala bagi calon Parlimen Pekan dan Dun Lanchang, Khaidir Ahmad, 56, keputusannya bertanding adalah bertujuan untuk memperjuangkan isu alam sekitar yang semakin teruk dan memerlukan satu tindakan drastik daripada pihak kerajaan.


“Saya mahu masalah ini khususnya daripada pencinta alam dapat didengari sehingga ke Parlimen.


“Melihatkan keadaan sekarang ini, belum ada ahli politik yang betul-betul berani menyuarakan dan memperjuangkan alam sekitar,” katanya bekas Ketua Pengarang Bilik Berita TV3 yang memilih untuk bertanding secara bebas kerana melihat tiada parti politik lain cuba mengetengahkan isu tersebut.


Sementara itu, bagi calon Dun Panching, Benzin Dagok, 57, melihat atas nama semangat untuk memupuk persaudaraan dah silaturahim yang tidak terdapat dalam parti lain membuatkannya terpanggil untuk bertanding pada PRU14.


Mudir Madrasah Tahfiz Al-Hajj, Permatang Badak itu berkata, ini adalah kali pertama bertanding dan bukan atas kepentingan peribadi, malah membawa hal-hal kemanusiaan yang lebih dekat di hati rakyat dalam kesefahaman Islam.


“Saya punya prinsip tersendiri dan jika rakyat memilih saya, banyak perkara baru dapat mereka lihat dengan mata hati.


“Saya mahu anak-anak sekarang kembali kepada landasan Islam sebenar kerana jika dibiarkan, anak-anak muda ini akan berpecah,” katanya.


Sementara itu, berbeza pula dengan Presiden Persatuan Anak Kelahiran Pahang (PAKP), Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant yang menarik diri dari bertanding atas tiket Bebas.


Menurut beliau, dia membuat keputusan membatalkan hasrat yang pernah diumumkan sebelum ini kerana rasa hormat terhadap penyandang kerusi Parlimen Pekan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.


Bagaimanapun, beliau menjelaskan hasratnya untuk bertanding pada PRU14 adalah untuk menyampaikan mesej bahawa semua masyarakat termasuk anak muda mahu melihat perubahan.


“Namun, saya batalkan niat untuk bertanding selepas berbincang dengan ahli keluarga. Dapatlah saya beri tumpuan pada keluarga dan perniagaan dijalankan.


“Sedikit sebanyak turut dipengaruhi rasa hormat terhadap kepimpinan Perdana Menteri selaku penyandang Ahli Parlimen Pekan,” katanya.


Syed Mohammad Faiz berkata, sehingga kini beliau masih menerima maklum balas dan sokongan berterusan dari masyarakat walaupun melupakan hasrat untuk bertanding di kerusi Bebas.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]