BN Ipoh Timor bidas pembangkang

in Uncategorized by


IPOH – Sebarang tuduhan tidak berasas dan membuta tuli yang dibuat calon pembangkang di kawasan Dun Tebing Tinggi hanya menunjukkan tahap pemikiran mereka.


Timbalan Pengerusi BN Bahagian Ipoh Timor, Datuk Azian Osman berkata, tidak timbul sebenarnya isu kawasan pembangkang terpinggir kerana banyak projek kerajaan yang disediakan untuk rakyat walaupun tempat tersebut tidak dimenangi BN.


Katanya, perkara sebenar berlaku adalah wakil rakyat pembangkang sebelum ini yang gagal menyelesaikan masalah sebaliknya dari kawasan selepas menang.


“Kita tahu, bila rakyat jumpa mereka alasan yang diberi tak ada peruntukan. Masa sidang Dun patutnya mereka bincang masalah rakyat tapi bawa isu yang tak ada kaitan pun.


“Jadi saya minta Dr Abdul Aziz Bari yang merupakan ahli akademik buatlah semakan betul-betul sebelum bagi kenyataan. Buat malu ahli akademik saja. BN tak pernah pinggir mana-mana kawasan pun. Saya dan rakan-rakan yang buat kerja selesaikan masalah rakyat,” katanya dalam satu sidang media, semalam.


Azian berkata, hampir semua masalah seperti setinggan di beberapa kawasan sekitar Ipoh Timor sudah pun diselesaikan.


Katanya, kerajaan negeri sudahpun menyelesaikan masalah berkenaan dan BN Ipoh Timor sentiasa turun padang melihat permasalahan dan mencari jalan untuk membantu.


“Dia tanya mana Zambry tapi dia sendiri tak tahu yang menteri besar kita ada di seluruh daerah di negeri ini buat program permukiman dengan rakyat. Bersama-sama rakyat tidur di masjid, tak balik rumah pun.


“Orang Perak tahulah siapa Dr Zambry. Memang menteri besar kita buat kerja dan tak payah sibuk nak kata orang tak buat kerja,” katanya.


Sementara itu, difahamkan kerajaan telah pun menyediakan 257 lot kediaman di Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) Tok Chendang, di sini, bagi menyelesaikan masalah setinggan di Kampung Paloh, Taman Temara, Kampung Seri Kinta dan Kampung Temiang.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]