Elak sentuh peribadi calon lawan

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Kempen calon Pakatan Harapan (Harapan) bagi Parlimen Johor Bahru lebih menjurus kepada soal isu yang membelenggu masyarakat di sekitar bandar raya ini.


Calon PKR kerusi Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir berkata, selain menyampaikan ucapan dan memperkenalkan diri, beliau memilih untuk menyentuh isu berkait rapat dengan pengundi bandar di Johor Bahru.


“Ini merupakan sesuatu yang luar biasa dalam sejarah Parlimen Johor Bahru sebab sebelum ini, memang susah untuk kita berkempen dalam kawasan-kawasan kampung Melayu.


“Semalam (kelmarin) kita ada tiga ceramah yang sama di warung-warung dan pagi ini (semalam) kita ada dua (di Kampung Melayu). Jadi kita nampak bahawa kempen tahun ini lebih berkesan dan ‘direct’ dengan pengundi.


“Isu utama yang berkait rapat dengan pengundi bandar di Johor Bahru adalah soal harga barang dan kos sara hidup yang tinggi,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Sebulong Corner, dekat Kampung Melayu di sini, semalam.


Akmal berkata, beliau juga memilih untuk tidak menyentuh keperibadian calon mewakili BN iaitu Tan Sri Shahrir Abd Samad, sebaliknya memberi tumpuan kepada isu rakyat.


Katanya, pada PRU kali ini, beliau dapat melihat sokongan atau undi yang akan diberikan oleh rakyat lebih berkisar kepada soal kehidupan dan ekonomi masyarakat biasa, bukannya politik.


“Itu kita akan ingatkan pengundi di luar sana dalam masa seminggu ini. Kita akan cuba yang terbaik untuk tambah baik ekonomi rakyat biasa (sekiranya diberikan mandat),” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]