Jalan berasas getah siap dibina

in Nasional by


BERA – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melancarkan pembinaan jalan berasaskan getah pertama di dunia yang akan memberikan manfaat dan kemudahan infrastruktur terbaik kepada masyarakat serta membantu pekebun-pekebun kecil getah, khususnya dalam menstabilkan harga komoditi itu.


Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, projek sepanjang kira-kira 17.7 kilometer itu bernilai RM3.5 juta, membabitkan 13 projek telah dilaksanakan seluruh negara.


“Tujuan kita melaksanakan projek ini, pertamanya dari segi ketahanan lebih baik dari jalan biasa tetapi lebih penting untuk membantu pekebun kecil getah, yang mana kita lihat hari ini harganya tidak stabil.


“Jadi kalau kita mampu gunakan sepenuhnya getah dalam pembinaan jalan ini, kita boleh stabilkan harga getah, malah jika berjaya memenuhi spesifikasi ditetapkan, kita dapat mengeksport ke luar negara,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Jalan Berasaskan Getah di Kampung Paya Tateh, di sini, hari ini.


Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KKLW, Datuk Azizan Mohd Sidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Datuk Zulkarnain Md Eusope.


Ismail Sabri berkata, pihaknya akan memperluaskan lagi pembinaan jalan berasaskan getah itu ke setiap kampung di seluruh negara.


Katanya, bagi setiap kawasan terbabit, kira-kira 3,000 penduduk telah menikmati manfaat itu.


Ismail Sabri yang juga calon Parlimen Bera berkata, pembinaan jalan itu amat bertepatan dalam menstabilkan harga getah kerana ia memerlukan getah yang banyak untuk melaksanakan projek berkenaan.


“Setiap satu kilometer jalan, kita memerlukan 4.2 tan getah. Saya sudah meluluskan 300 kilometer jalan tidak termasuk jalan luar bandar kira-kira 2,000 kilometer.


“Sekarang kita tunggu keputusan Jabatan Kerja Raya (JKR), sekiranya ia lulus dari segi ketahanan dan sebagainya kita memutuskan menggunakan kaedah ini membina jalan kampung termasuklah jalan-jalan kampung yang diluluskan dalam bajet tahun ini,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]