Kereta mini jadi trademark

in Edisi Utara by


TELOK AIR TAWAR- Begitulah antara reaksi masyarakat tatkala melihat sebuah kereta mini apabila masuk ke dalam kampung mereka di kawasan Telok Air Tawar ini.


Mustafa Kamal Ahmad atau lebih sinonim dengan panggilan Pak Mus merupakan calon PKR bagi kawasan Dun Telok Air Tawar.


Mustafa berkata, kereta mini miliknya  sentiasa menjadi perhatian tatkala beliau mengunjungi ke kawasan-kawasan di dalam Dun ini.


“Saya gunakan kereta ini bukan dalam tempoh berkempen ini saja, malah sejak saya terlibat aktif dalam PKR saya sudah menggunakannya, jadi bila saya menjawat jawatan sebagai Penyelaras Kadun di sini sebelum ini, memang nak ke mana-mana saya naik kereta mini ini.


“Bentuk dan coraknya yang menarik, yang boleh dikatakan lain daripada yang lain, menyebabkan orang boleh kenal, kalau saya lalu kat mana-mana, orang boleh tau yang Pak Mus dah mai nak melawat depa,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui di pusat jentera PKR Telok Air Tawar semalam.


Menurutnya, kereta mini tersebut menjadi satu ‘trademark’ bagi dirinya.


“Usia kereta ini dah menjangkau 43 tahun, memang agak lama saya pakai, jadi saya tak risau, kalau nak pi melawat atau hadiri mana-mana program dalam kawasan Telok Air Tawar ini.


“Sebab bila orang tengok kereta ni pun orang akan tahu kehadiran saya, Alhamdulillah, pada saya itu merupakan sedikit kelebihan yang ALLAH anugerahkan,” katanya.


Mengulas lanjut mengenai gerak kerja yang dijalankan, katanya setakat ini beliau telah menjelajah hampir keseluruhan kawasan dalam Telok Air Tawar ini.


“Sebenarnya gerak kerja dalam membantu membela masyarakat kita telah laksanakan sejak beberapa tahun yang lalu, di mana ketika saya menjawat jawatan Penyelaras Kadun di sini.


“Jadi sepanjang tempoh berkempen ini, kita mempergiatkan lagi, yang penting  kita turun ke setiap lapisan masyarakat, bertemu dan menyantuni mereka.


“Dalam masa sama kita ambil tahu nasib dan keadaan mereka,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]