Lapan teras manifesto BN Teluk Intan

in Edisi by


TELUK INTAN – Mempunyai lapan teras utama Manifesto BN Teluk Intan bertemakan Majulah Teluk Intan dilihat bakal meneruskan pembangunan serta memelihara kesejahteraan Teluk Intan.


Apa yang menarik manifesto ini turut memberi tumpuan kepada golongan ibu atau bapa tunggal serta pembinaan beberapa lokasi pelancongan yang mampu menarik ramai pelancong berkunjung ke parlimen ini yang cukup terkenal dengan Menara Condong Teluk Intan.


Calon BN Parlimen Teluk Intan, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, di bawah teras khidmat masyarakat akan memberi tumpuan melibatkan inisiatif membantu warga Teluk Intan yang kurang berkemampuan.


Antara inisiatif baru yang bakal diperkenalkan adalah pemberian bantuan istimewa kepada golongan ibu bapa tunggal di Teluk Intan bagi memastikan nasib golongan ini terbela.


Kita juga turut menaikkan kadar Bantuan Asas Bencana kepada RM300 serta bantuan membaiki rumah usang yang akan diteruskan demi membantu golongan kurang berkemampuan, katanya pada pemberita selepas sesi penerangan manifesto BN Parlimen Teluk Intan bersama media, semalam.


Bagi teras pelancongan Siew Keong memaklumkan tumpuan akan diberikan untuk membina dan mengembangkan potensi sektor berkenaan yang ada di Teluk Intan termasuk meneruskan permohonan mendapatkan pengiktirafan Menara Condong sebagai Tapak Warisan Unesco.


Kita juga akan melaksanakan inisiatif baharu seperti cadangan mencantikkan tebing Sungai Perak menjadi seperti tebing sungai di Shang Hai (Bund of Shang Hai) dengan pembinaan tangga-tangga batu bagi tujuan pelancongan.


Laluan Warisan Anson dan Muzium Warisan Teluk Intan juga akan dibina bagi menarik kedatangan pelancong asing serta tempatan selain dapat memelihara warisan kebudayaan dan sejarah Teluk Intan untuk generasi akan datang, katanya.


Sementara itu, calon BN Dun Changkat Jong, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, Manifesto BN Teluk Intan bagi PRU14 yang diketengahkan melalui lapan teras meliputi keseluruhan hasrat hati rakyat di Teluk Intan.


Apa yang menarik perhatian saya adalah teras khidmat masyarakat yang membawa beberapa pembaharuan dicetuskan oleh Datuk Seri Mah sendiri dalam membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat di kawasan ini terutama sekali agenda membantu golongan susah.


Skim untuk warga ibu dan bapa tunggal adalah antara yang menarik kerana sebelum ini tidak banyak pihak tampil membela nasib mereka dan diberi layanan seperti janji Datuk Seri Mah, katanya.


INFO


8 Manifesto BN Teluk Intan


1.Transformasi ekonomi Teluk Intan


2.Rumah mampu milik


3.Kualiti hidup


4.Khidmat masyarakat


5.Pendidikan


6.Masalah banjir


7.Keselamatan


8.Pelancongan


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]