'Memang tak tahu nak cakap apa'

in Edisi by


IPOH – Memiliki rumah di kawasan bandar bagi golongan berpendapatan rendah merupakan perkara yang hampir mustahil.


Namun, siapa sangka idea mewujudkan Skim Rumah Insan Amanjaya (SRIA) oleh Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU) berjaya memberi harapan kepada golongan miskin bandar memiliki rumah.

Robayah


Perkara itu diakui salah seorang penerimanya, Robayah Abdullah, 48, yang tidak menyangka impiannya memiliki rumah sejak lebih 10 tahun ditunaikan.


Katanya, selama 10 tahun tinggal menyewa di Kampung Pasir Puteh Tambahan, di sini, bersama keluarga tidak pernah terfikir akan memiliki rumah sendiri.


“Niat nak ada rumah sendiri memang ada. Tapi bila pergi bank nak buat pinjaman memang tak mampu kalau harapkan gaji suami yang hanya bekerja sebagai pemandu lori.


“Anak pun ada yang bersekolah. Jadi terpaksalah menyewa sahaja sebab memang tak mampu nak tambah beban bulanan kalau meminjam dari bank,” katanya kepada Sinar Harian.


Namun katanya, impian yang hampir dilupakan itu kembali selepas menerima maklumat dari ketua kampung bahawa kerajaan negeri mempunyai skim pinjaman SRIA kepada golongan berpendapatan rendah.


Robayah pada mulanya tidak yakin permohonannya diluluskan kerana dengan gaji suaminya berjumlah RM1,700.


Tetapi berita gembira itu akhirnya menjelma apabila diberitahu keluarganya layak menerima SRIA itu dan dalam masa 10 minggu rumah impiannya berjaya disiapkan.


“Memang tak tahu nak cakap apa bila permohonan itu lulus. Rasa lega, seronok, macam-macam lagi sebab kami dah lama nak rumah sendiri.


“Kalau dulu kita bayar sewa RM400 sebulan tapi sekarang dengan jumlah yang sama, boleh dapat rumah sendiri,” katanya.

Robayah menerima kunjungan Pembantu Eksekutif Unit Komunikasi YBU, Mohd Aznizam Azahar di rumah barunya.


Menurut Robayah, golongan miskin bandar sepertinya memang sangat menghargai usaha kerajaan negeri memperkenalkan SRIA.


Katanya, syarat untuk memohon tidak sukar kerana yang paling penting mempunyai tanah sendiri.


Sebagai cadangan, Robayah turut meminta kerajaan negeri menambah kuota penerima kerana ramai golongan miskin bandar yang menginginkannya.


“Apa yang Dr Zambry buat ini dah bagus cuma mungkin lepas ini boleh buat tambah baik dan pelbagaikan lagi reka bentuk.


“Saya suka reka bentuk yang ada ini sebab tak nampak macam rumah bantuan. Dengan tiga bilik memang sesuai untuk kami sekeluarga,” katanya yang mempunyai tiga orang anak.


Bantuan tak kira bangsa


Sementara itu, bagi seorang lagi penerima, K Sri Ganesh, 32, dari Buntong turut menghargai usaha yang dibuat oleh kerajaan negeri.


Katanya, bantuan SRIA itu membuktikan kerajaan negeri tidak meminggirkan mana-mana rakyat di negeri ini.


“Saya nak nak bawa mak dan ayah tinggal bersama saya kerana kerana selama ini kami hanya duduk dalam rumah lama. Syukurlah kerana adanya SRIA ini dapatlah kami tinggal dengan lebih selesa.


“Mak dan ayah saya dah tua, jadi sayalah yang menjaga mereka,” katanya yang bekerja sebagai pengimpal dengan pendapatan tidak sampai RM2,000.


Sri Ganesh berkata, golongan yang memerlukan sepertinya juga perlu pembelaan dan apa yang dilakukan kerajaan negeri melalui SRIA amat membantu.


Katanya, sama ada Melayu, Cina dan India, semua menerima manfaat daripada usaha kerajaan negeri itu.

 


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]