‘Saya perlu regu’

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Calon BN Parlimen Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berharap akan terus mendapat sokongan daripada pengundi di kawasan tersebut PRU14 ini.


Katanya, harapan tersebut disuarakan agar kemenangan dengan majoriti undi lebih besar dapat diraih nanti.


Menurutnya, beliau juga mahu BN kembali merampas Dun Johor Jaya selepas tewas kepada DAP pada PRU13.


“Untuk mendapatkan wakil rakyat yang mempunyai perkhidmatan lebih berkesan, saya memerlukan regu iaitu mereka yang boleh membantu.  


“Jadi atas sebab itu penting kita menangkan calon peringkat Dun, Datuk Tan Cher Puk dan kita juga mesti menangkan Pasir Gudang dengan majoriti yang besar,” katanya ketika berucap kepada pengundi di Rumah Pangsa Laman Tasik Pandan di sini, hari ini.


Mohamed Khaled yang juga calon Dun Permas berkata, pada PRU lalu, pihaknya mengesan terdapat pengundi BN termasuklah di kawasan Laman Tasik Pandan tidak keluar mengundi.


Oleh yang demikian, beliau berharap, perkara tersebut tidak berulang pada PRU14 nanti.


“Saya diletakkan untuk bertanding sebagai calon di Pasir Gudang untuk pastikan kawasan Parlimen ini menang besar. BN hanya boleh menang besar kalau kita dapat keluarkan semua pengundi putih 100 peratus.


“Saya juga diletakkan bertanding di Pasir Gudang ini untuk pastikan kita dapat menangkan Dun Johor Jaya. Bila lihat saya bertanding kerusi Parlimen, semua pengundi akan keluar dan bila undi saya mereka juga undi Dun Johor Jaya,” katanya.


Sebagai Pengerusi BN Johor, Mohamed Khaled berkata, beliau boleh memilih kawasan selamat untuk bertanding kerusi Parlimen.


“Tapi saya pilih Pasir Gudang (kerusi marginal) kerana setia dengan orang Pasir Gudang dan saya yakin pengundi akan pastikan saya tak kalah bila bertanding.


“Atas sebab itulah saya yakin dengan Pasir Gudang kerana saya tahu pengundi semua sangat setia dengan BN dan saya sebagai calon,” katanya.


Justeru itu, beliau mahu kesemua jenteranya bekerja kuat dan kerja demi memenangkan BN pada PRU kali ini.


“Semua pengundi putih kita, seberapa yang ramai bukan sahaja menyokong tapi boleh jadi jentera. Kalau boleh kita mesti keluarkan mereka semua 100 peratus.


“Kita keluar ramai-ramai kerana nak menangkan saya sebagai calon Parlimen Pasir Gudang. Dengan izin ALLAH, kita akan berjaya mempertahankan Pasir Gudang dan rampas balik kerusi Dun Johor Jaya,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]