Tiada huru-hara kempen PRU14 hari ke-5

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kempen PRU14 yang kini memasuki hari kelima dilaporkan berjalan lancar, aman dan terkawal.


Penasihat Undang-Undang Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR) Azizan Md Arshad berkata, setakat ini SPR tidak menerima laporan kejadian atau perkara yang serius, mahu pun keadaan huru-hara.


“Setakat ini semua parti mematuhi syarat dan peraturan kempen yang ditetapkan SPR. Jika senario ini dikekalkan tidak mustahil PRU14 boleh menjadi PRU paling bersih dan aman yang pernah diadakan,” katanya di Wisma Bernama di sini, hari ini.


Tempoh berkempen bagi PRU14 bermula selepas proses penamaan calon pada 28 April sehinggalah 11.59 malam 8 Mei depan. Pengundian ditetapkan pada 9 Mei, manakala pengundian awal pada 5 Mei.


Mengenai laporan berhubung gambar Pengerusi Bersatu yang juga calon PKR bagi kerusi Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad, diturunkan di lokasi tertentu, Azizan berkata hanya gambar presiden, timbalan presiden, menteri besar, ketua menteri, calon dan ketua perhubungan negeri atau yang setaraf dengannya yang dibenarkan menjadi bahan kempen.


Katanya, kempen PRU14 dipantau Pasukan Penguatkuasa Pilihan Raya di setiap bahagian dianggotai wakil-wakil parti yang bertanding, PDRM dan pihak dilantik SPR.


“Apabila sebarang aduan diterima SPR, pasukan berkenaan akan mengadakan  perbincangan dan rundingan bagi mencari langkah yang terbaik sebagai penyelesaian sebelum disampaikan kepada pihak yang sewajarnya. Biasanya bahan kempen yang tidak dibenarkan akan diturunkan oleh parti itu sendiri setelah diberitahu (mengenai pelanggaran peraturan yang dilakukan),” katanya.


Ditanya mengenai calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Rantau Dr S Streram yang tidak membawa pas SPR dan tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon sekali gus menjadikan calon BN Datuk Seri Mohamad Hasan menang tanpa bertanding pada proses penamaan calon, Azizan meminta semua pihak menunggu sehingga siasatan polis selesai.


“Apabila SPR melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya, SPR telah menurunkan kuasa kepada pegawai tersebut. Pegawai Pengurus mempunyai kuasanya sendiri dalam sesebuah kawasan pilihan raya dan boleh membuat sebarang keputusan. SPR tidak campur tangan keputusan yang dibuat oleh pegawai pengurus itu,” kata beliau.


Mengenai petisyen difailkan Naib Presiden PKR, Tian Chua  bagi mencabar keputusan Pegawai Pengurus Pilihan Raya  Parlimen Batu yang menolak permohonannya untuk menjadi calon PRU14 , Azizan berkata kes berkenaan akan disebut di mahkamah di sini, esok.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]