Wanita BN perhebat kempen

in Politik by


KUALA LANGAT – Pergerakan Wanita BN menerusi jentera Jalinan Rakyat (JR) memperhebatkan kempen mereka pada hari-hari terakhir menjelang pengundian pada PRU14, 9 Mei ini.


Ketuanya Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, “pecutan” pada saat-saat akhir itu penting untuk menangkis segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan terhadap BN oleh Pakatan Harapan (Harapan).


“Di beberapa hari sebelum hari mengundi, kami, Wanita BN melalui jentera JR akan mempergiatkan lagi program berjumpa dengan pengundi di kawasan masing-masing bagi memberi penerangan berkaitan isu semasa dan menangkis segala tohmahan yang dilempar,” katanya di sini, hari ini.


Beliau yang juga Ketua Wanita Umno berkata demikian pada program tinjauan mesra di Taman Kemuning bersama calon-calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Morib, Rozana Kamarulzaman dan Parlimen Kuala Langat Shahril Sufian Hamdan.


Shahrizat berkata, program turun padang memberikan penerangan kepada pengundi telah dimulakan sejak awal lagi, namun akan dipergiatkan menjelang hari pengundian berikutan tindakan Harapan meningkatkan penyebaran fitnah dan berita palsu bagi mengelirukan pengundi.


Menurutnya, beliau amat berpuas hati dengan gerak kerja dan komitmen yang ditunjukkan jentera Wanita BN Kuala Langat sepanjang lima hari berkempen ini.


“Wanita BN Kuala Langat telah memberikan jaminan untuk memastikan kemenangan berpihak kepada semua calon BN di sini,” katanya.


Pada PRU14, kerusi Dun Morib bakal menyaksikan Rozana ditentang penyandang kerusi itu Hasnul Baharuddin daripada PKR dan calon Pas, Dr Mohammad Sallehuddin Hafiz. – Bernama


Source: SH Politik

[featured-video-plus]