Asyraf mahu selesai isu sampah di pasar jika menang

in Edisi by


PASIR  PUTEH – Calon BN Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberi keutamaan menyelesaikan masalah perparitan, pengurusan sampah dan pasar dihadapi penduduk sekitar bandar Pasir Puteh jika menang PRU14 pada 9 Mei ini.


Beliau berkata, masalah perparitan menyebabkan berlakunya banjir kilat di kawasan berkenaan setiap tahun amat meresahkan penduduk dan perlu diatasi segera.


“Begitu juga dengan masalah pengurusan sampah, pihak berkuasa tempatan gagal melaksanakan pengurusan sampah mengikut jadual sehingga menyebabkan berlakunya longgokan sampah terbiar di banyak lokasi sekitar bandar ini,” katanya selepas Majlis Ramah Mesra Pasir Puteh Riders di sini, hari ini.


Beliau juga akan membantu peniaga yang berpindah ke pasar baharu Pasar Siti Hajar supaya mereka dapat berniaga dalam keadaan yang lebih selesa dan teratur.


Asyraf Wajdi yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berdepan pertandingan tiga penjuru antara calon Pas Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Datuk Kamaruddin Md Nor (Harapan). – Bernama

 


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]