Cambridge Analytica 'bungkus'

in Global by


LONDON – BRITAIN. Firma perunding politik, Cambridge Analytica, semalam mengumumkan penutupan operasinya dan akan memfailkan insolvensi di Britain dan Amerika Syarikat (AS) selepas gagal pulih daripada skandal salah guna data Facebook.


Keputusan itu dibuat selepas berdepan tekanan selama beberapa minggu selepas ia didakwa ‘diupah’ kempen pilihan raya Presiden Donald Trump untuk menggodam sehingga 87 juta data pengguna laman sosial tersebut.


“Pelbagai tuduhan tidak berasas telah memberi impak besar kepada firma terbabit tanpa ada alternatif realistik. Ia yakin, kakitangannya bertindak mengikut etika dan tidak melanggar undang-undang, namun liputan meluas media telah menyebabkan pelanggan dan pembekal ‘lari’.


“Jadi, ia tidak lagi berdaya maju untuk terus beroperasi,” kata syarikat berpusat di Britain itu dalam satu kenyataan.


Syarikat yang bersekutu dengan firma Britain, Strategic Communication Laboratories (SCL) itu turut mempunyai cawangan di New York, Washington, Brazil dan Malaysia.  


Skandal itu pertama kali terbongkar pada Mac lalu apabila bekas penganalisis, Christopher Wylie, 28, mendedahkan ia telah mereka profil psikologi puluhan juta pengguna Facebook menerusi aplikasi ramalan personaliti.


Awal bulan lalu, Facebook menaikkan jumlah individu yang terkesan akibat skandal salah guna data itu kepada 87 juta pengguna.


Cambridge Analytica bagaimanapun menafikan tuduhan eksploitasi data tersebut dan mendakwa ia memadamkan data yang didapati melanggar syarat perkhidmatan rangkaian media sosial. – AFP


Source: SH Global

[featured-video-plus]