Felda Lubuk Merbau dulu dan kini

in Edisi Utara by


PADANG TERAP – Kawasan hutan tebal yang pernah menjadi tempat persembunyian  komunis sewaktu zaman darurat, kini menjadi sebuah perkampungan moden yang tenang.


Bagi generasi pertama di Felda Lubuk Merbau di sini, mereka dapat melihat sendiri transformasi penempatan itu sejak 1968 yang berubah ​​​​​wajah  menjadi sebuah penempatan terancang dengan warga peneroka yang hidup dalam keadaan harmoni.


Ketua Peneroka Felda Lubuk Merbau Mat Awang Saad, 65, berkata kehidupan pada masa sekarang  amat jauh berbeza jika dibandingkan dengan dahulu, ketika mula-mula memasuki tanah rancangan Felda itu, yang berbekalkan elaun RM69 sebulan.  


Felda yang mempunyai sejumlah 769 peneroka dan kira-kira 5,000 penduduk itu tidak putus menerima limpahan pembangunan apabila sebuah loji air Felda Lubuk Merbau  bernilai RM15 juta siap dibina pada  September tahun lalu.


Beliau berkata loji air itu yang berkapasiti empat juta gelen air sehari mampu membekankan air kepada 7,000 pengguna dan pada masa sama membantu selesaikan masalah air di beberapa kampung terdekat.


Bukan itu sahaja, Mat Awang berkata seramai 50 peneroka di Felda itu turut mendapat manfaat daripada Projek Perumahan Generasi Baharu Felda yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, sekali gus menunjukkan keprihatinan dan komitmen kerajaan dalam membantu peneroka.


Malah pada April lalu, warga Felda itu turut mendapat dewan baharu untuk  melaksanakan aktiviti kemasyarakatan iaitu Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Lubuk Merbau bernilai RM2.9 juta.


Dengan perkembangan itu, beliau berkata warga Felda sebenarnya sudah amat selesa dan menjalani kehidupan sempurna di bawah Najib yang sentiasa menganggap  lebih 100,000 peneroka Felda di negara ini sebagai adik-beradiknya. 


“Najib mempedulikan warga Felda atas kapasiti bapanya (Tun Abdul Razak) sebagai bapa pembangunan yang telah ‘melahirkan’ Felda, beliau (Najib) menganggap peneroka Felda sebagai adik-beradiknya,” katanya.


Manifesto BN pusat bagi PRU14 ini turut menjanjikan hadiah istimewa buat peneroka Felda seperti insentif khas RM5,000, mewujudkan geran khas tanaman semula sebanyak RM7,500 sehektar dan melupuskan hutang pembelian saham FGV. 


Bagi generasi kedua di Felda itu, Noraini Abdullah, 54, beliau mengakui bahawa segala pembangunan yang dinikmati adalah usaha keras yang dijalankan kerajaan BN selama bertahun-tahun. 


“Kita semua hidup dengan nikmat pembangunan yang dibawakan kerajaan BN, bermula daripada air, elektrik, sekolah, bantuan usahawan, klinik, pusat internet, yang mana segalanya sudah siap tersedia,” katanya. 


Bagi menjana pendapatan, Noraini bersama rakan-rakan mengusahakan kuih-muih tradisional seperti bahulu dan rempeyek di sebuah rumah kosong yang dijadikan bengkel,  hasil bantuan wakil rakyat di kawasan itu.


Beliau turut menggunakan kemudahan internet di Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) yang disediakan di Felda itu bagi mempromosikan produk jualan mereka melalui laman sosial seperti Facebook. – Bernama


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]