Habis poster disembur cat merah

in Edisi Selangor KL by


BALAKONG – Bukan sahaja bendera parti dicabut, dikoyak dan disepahkan di tepi jalan malah wajah calon BN Parlimen Bangi, Datuk Liew Yuen Keong dan Dun Balakong, Lim Chin Wah yang terpapar di poster kempen disembur cat merah, pagi semalam.


Tidak cukup dengan itu, pihak tidak bertanggungjawab juga dikatakan memotong gambar wajah kedua-dua calon itu di poster tanpa diketahui apakah motifnya, pagi tadi.


Yuen Keong berkata, beliau mendapat tahu insiden tersebut selepas menerima mesej WhatsApps daripada penyokongnya.


“Sebaik habis kempen, saya terus ke lokasi iaitu di Taming Jaya dan juga Kampung Baru Balakong, pagi semalam. Memang terkejut bila dapati gambar saya dan calon Dun Balakong yang terpapar di tiga poster dipasang sekitar kawasan tersebut disembur dengan cat merah.


“Malah saya sedih bila lihat kira-kira 20 bendera BN yang digantung sudah dibuang ke tepi jalan.


Perkara seperti ini tak patut berlaku, setiap parti politik perlu diberi peluang dan ruang untuk jalankan kempen semasa pilihan raya,” katanya.


Yuen Keong berkata, pihak terbabit tidak harus menggunakan cara kasar menindas calon dengan tindakan tidak bertanggungjawab.


Laporan polis sudah dibuat dan pihaknya menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa serta memohon Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan sewajarnya.


“PRU adalah proses demokrasi diberi kepada semua rakyat untuk pilih seorang yang berwibawa bagi menjadi wakil mereka. Sepatutnya penyokong parti menghormati antara satu sama lain.


“Tindakan rosakkan bahan publisiti parti tak harus berlaku, patut semua kena beri peluang calon berkempen bagi mengamalkan pilihan raya bersih dan cekap,”katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]