Haida Hafiz rahsiakan penyakit

in Hiburan by
Haida Hafiz

Haida Hafiz rahsiakan penyakit


RAMAI yang tertanya-tanya ke mana menghilangkan kelibat penyanyi Haida Hafiz selepas program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) berakhir, sedangkan sebelum ini penyanyi itu menyatakan hasratnya untuk kembali aktif dalam bidang seni.


Menjelaskan situasi itu, Haida yang ditemui ketika majlis pelancaran Program Ramadan Astro 2018 pada Rabu berkata, kehilangannya adalah kerana masalah kesihatan yang sedang dihadapi.


“Selepas GV4 berakhir saya tidak terlibat dengan apa-apa aktiviti seni kerana keadaan kesihatan tidak mengizinkan.


“Dalam tempoh beberapa bulan itu, saya hanya berehat di rumah sehingga saya betul-betul dah OK, barulah saya kembali merencana kerjaya seni,” katanya kepada Sinar Harian.


Ditanya lebih tentang sakit yang dihidapi, Haida bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentangnya.


“Cukuplah peminat dan orang orang di luar sana tahu saya sekarang sudah  OK dan bersedia untuk kembali bekerja seperti biasa,” ulasnya ringkas.


Berkongsi tentang perkembangan terbaru kerjaya seninya, kata penyanyi yang pernah dikenali menerusi lagu Zapin Usik Mengusik ini, dia kini mula berjinak-jinak dengan dunia lakonan apabila mendapat tawaran berlakon telefilem Tergantung Rindu.


“Haida terima tawaran berlakon ni sebab ia benda baru buat  dalam kerjaya seni Haida dan dalam masa yang sama nak cuba rasa pengalaman sebagai seorang pelakon macam mana.


“Walaupun babak untuk watak ibu bernama Maya dalam telefilem ini tak banyak sangat, tetapi Haida dapat rasakan betapa tingginya komitmen yang perlu diberikan oleh seorang pelakon.


“Ia merupakan pengalaman yang cukup menyeronokkan buat Haida, apatah lagi ramai yang sudi memberi tunjuk ajar ketika di set penggambaran terutamanya Zarul Umbrella yang memegang watak sebagai suami Haida dalam cerita ini,” katanya.


Meskipun teruja dengan dunia lakonan yang baru diceburi, Haida menegaskan bidang nyanyian tetap akan menjadi keutamaannya.


“InsyaALLAH selepas raya nanti, Haida akan keluar dengan single terbaharu sebagaimana yang telah dijanjikan kepada peminat sebelum ini.


“Buat masa ini Haida masih mencari lagu yang terbaik dan bersesuaian dengan Haida supaya bila keluar nanti semua orang akan puas hati.


“Dalam masa yang sama, Haida turut mendapat tawaran untuk merakamkan lagu di Indonesia, tetapi buat masa ini biarlah Haida belum buat apa-apa keputusan lagi dan kita tengoklah macam mana nanti,” akhirinya.


Source: SH Hiburan 1

[featured-video-plus]