Hanya guna kad pintar NFC beli barang, bayar perkhidmatan

in Bisnes by


SYARIKAT peneraju teknologi Blockchain, BCMY Pte Ltd, optimis BCMY iaitu teknologi kewangan (Fintech) merupakan penyelesaian mudah alih yang menawarkan ciri-ciri pembayaran pedagang dan mata wang digital.


Pengasasnya, Datuk Azrainuddin Zainal berkata, BCMY bertujuan memperluaskan rangkaian perkhidmatannya dengan mewujudkan satu landasan untuk pedagang yang mana pengguna hanya perlu menggunakan kad pintar Near Field Communication (NFC) untuk membeli barangan dan perkhidmatan.


Menurutnya, syarikatnya mengadakan pelbagai program memberikan kesedaran mengenai kepentingan BCMY terutamanya di Malaysia dan Asia serta di seluruh dunia dengan mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak.


“Di Malaysia, BCMY bekerjasama dengan beberapa universiti awam seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan ahli akademik terkemuka untuk meningkatkan kesedaran mengenai perkara ini. Kami mengharapkan kerjasama seperti ini dengan beberapa universiti untuk membangunkan modal pendidikan khusus mengenai teknologi blockchain.


“BCMY mencipta nama di peringkat antarabangsa apabila menerima beberapa anugerah seperti The Challenge Innovation Swiss. BCMY juga diberikan peluang untuk menjadi penceramah dalam pelbagai acara seperti di Sidang Kemuncak Blockchain Dunia di Dubai serta World Blockchain Forum di London,” katanya ketika ditemui di BCMY Meet Up Summit 2018 yang diadakan di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid.


Azrainuddin berkata, setakat ini, BCMY mempunyai lebih 150,000 pengguna melibatkan lebih 10 negara dan 30 peratus daripadanya merupakan pengguna dari Malaysia.


“Kami yakin pengguna BCMY akan bertambah dari semasa ke semasa dengan adanya program kesedaran mengenai manfaat penggunaannya. BCMY merupakan penyelesaian mudah alih (E-wallet) yang dilengkapi dengan kad pintar NFC dan teknologi blockchain, memberikan pengguna keupayaan untuk menyimpan dan memindahkan aset serta-merta di seluruh dunia,” katanya.  


Menurutnya, teknologi blockchain ialah lejar dalam talian yang diedarkan yang merekodkan setiap urus niaga dengan mata wang digital, iaitu inovasi yang membantu menyelesaikan masalah pengeluaran berganda kerana setiap transaksi yang direkodkan dirahsiakan dengan kriptografi dan datanya terbukti tidak dipadamkan.


“BCMY adalah E-wallet utama untuk Dinar Coin, aset kripto yang berdasarkan kepada nilai emas semasa,” katanya.


Mengulas mengenai BCMY Meet Up Summit 2018, Azrainuddin berkata, ia disertai 2,500 orang dari 10 negara seperti Jepun, United Kingdom, Australia, Thailand, Indonesia dan Singapura serta Canada.


“Program ini merupakan platform kepada kepada pengguna untuk mendapatkan maklumat mengenai mata wang digital dan teknologi blockchain. Perbincangan yang diadakan juga memberikan pemahaman, pertukaran pemikiran intelektual dan perspektif mengenai topik kepada tetamu yang hadir,” katanya.


Turut diadakan dalam program itu ialah pembentangan mengenai revolusi BCMY oleh Azrainuddin sendiri dan perbincangan Keuntungan dari Cryptocurrencies dan Teknologi Blockchain dalam Ekosistem Kita.


Perbincangan tersebut membariskan panel iaitu rakan kongsi RHT Law Taylorwessing Singapura, Nizam Ismail, Pensyarah Kanan dan Perunding Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Rahayu, Pengerusi Lembaga Pengarah Zoo Blockchain dari Indonesia, Pandu W Sastrowardoyo dan moderatornya adalah Azrainuddin sendiri.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]